Wednesday 20 February 2013

"HOLE IN ONE"


APABILA suamiku ditawarkan untuk bekerja di kilang sawit di Ulu Tiram, peluang bermain golf datang tanpa disangka-sangka. Hatiku gembira bukan kepalang kerana aku selalu membayangkan bagaimana bergayanya suamiku jika dapat bermain golf di samping Tiger Wood, setiap kali aku menonton Tiger Wood bertanding di kejohanan golf. Kebetulan syarikat yang suamiku bekerja pada kali ini seringkali menganjurkan pertandingan golf.
Rata-rata mereka yang berjawatan pengurus dan ke atas pandai bermain golf. Di sinilah suamiku mula berjinak-jinak dengan sukan golf. Aku sendiri memberikan galakan kepada suamiku untuk berlatih memukul bola golf di driving range selepas waktu bekerja.
“Balik nanti, umi urut badan abang, ya?” kataku kepada suami pada setiap latihan di driving range tersebut.
Begitulah kebiasaannya selepas suamiku pulang dari bermain golf.  Lama kelamaan aku dan anak-anak turut ‘turun padang’ sekali bersama suamiku berlatih memukul bola golf. Fuh! Penat betul aku berlatih memukul 100 bola golf tetapi bila melihatkan gelagat anak-anakku yang bersemangat memukul bola golf satu demi satu, penat aku terus hilang.
Apabila suamiku ditugaskan berpindah ke kilang sawit di Kota Tinggi, dia tidak lagi berpeluang untuk ke driving range kerana lokasi kilang sawit kami agak jauh ke dalam. Jadi, untuk memastikan bakat suamiku dalam golf terus bersinar, aku sekeluarga sepakat untuk berlatih memukul bola golf di luar halaman rumah kami. Aku awal-awal lagi sudah memberi amaran kepada suamiku supaya memukul bola golf dengan perlahan dan berhati-hati kerana bimbang terkena atap rumah staf-staf yang berdekatan. Alhamdulillah, latihan memukul bola golf kami berjalan dengan lancar sehinggalah berlakunya trajedi yang tidak disangka-sangka.

Ala-ala ‘Tragedi Oktober’ kononnya! Huhuhu. Parut yang kekal di dahi putera keduaku, Haziq, menjelaskan segala-galanya. 
Parut Haziq di atas kening kirinya…Takpe..anak umi masih handsome..

Seperti biasa aku akan menjadi pengadil di tepi halaman rumah kami untuk memastikan seorang demi seorang mengambil giliran memukul bola golf masing-masing. Ini bertujuan mengelakkan sebarang kecederaan berlaku. Apabila tiba giliran putera pertamaku, Haikal, memukul, secara tiba-tiba Haziq meluru ke arah abangnya dan selepas itu kedengaran Haziq menjerit sambil menangis.
Aku dan suamiku yang berdiri di tepi halaman melepaskan club masing-masing dan berlari ke arah anak-anak kami untuk melihat apa yang sedang berlaku. Masya-Allah! Darah berlumuran membasahi seluruh muka Haziq dan aku mula menangis melihat keadaan Haziq yang agak parah.
“Abang, darah dari mana ni, bang? Mata Haziq kena ke?”
Dengan nada serius suamiku mengarahkan aku mengambil kain tuala di dalam rumah untuk mengelap darah yang berlumuran. “Cepat sikit, umi,” arah suamiku.
Selesai mengelap darah yang berlumuran tersebut, aku berasa sungguh lega. Haziq bernasib baik kerana hanya cedera di dahi sahaja dan bukannya di mata. Terima kasih, Allah! Syukur, alhamdulillah. Namun aku melihat agak teruk juga dahi Haziq terkoyak dan darah tidak berhenti-henti mengalir. Suamiku dengan pantas membawa Haziq ke Klinik Estet yang memang terletak berdekatan dengan rumah kami. Terus terang aku katakan, aku berasa ragu-ragu juga pada mulanya dengan kemampuan Hospital Assistance (HA) Yassin yang bertugas di sana. Maklumlah aku sudah terbiasa mendapat rawatan di klinik swasta sewaktu aku bekerja dahulu.
HA Yassin mencadangkan agar luka di dahi Haziq perlu dijahit dengan segera bagi mengelakkan Haziq kehilangan lebih banyak darah lagi. Sebelum HA Yassin menjahit dahi Haziq yang terkoyak tersebut, dia perlu membius sekitar dahi Haziq. Ya, Allah! Meronta jugalah Haziq apabila dibiuskan. Sebak betul dan berlinangan air mataku melihatkan Haziq meronta kesakitan di atas katil sambil memelukku erat.
Dengan nada yang sedih, aku memujuk, “Haziq, Haziq anak umi dan ayah yang kuat, kan? Umi nak Haziq bayangkan kita mandi swimming pool. Seronokkan Haziq berenang?”
Tidak lama kemudian, HA Yassin menjalankan tugasnya dan Haziq dikenakan lima jahitan serta parutnya kekal sehingga kini.
Tak semena-mena, boleh terkeluar pula dari mulut Haziq, “Umi, boleh tak Haziq main golf lagi?”
Suasana cemas di dalam bilik rawatan bertukar menjadi geli hati apabila kami semua mendengarnya.
HA Yassin membalas, “Dah kena macam ‘ni pun, Haziq ada hati nak main golf lagi ke?”
Haikal pula yang dari tadinya senyap mungkin kerana berasa bersalah turut menangis melihatkan adiknya Haziq yang mengerang kesakitan. Haikal memujuk, “Haziq, nanti kita main golf sama-sama lagi ya? Haziq tahan sikit, ya?”
Alhamdulillah! Aku sangat mengagumi semangat kental anak-anakku. Alhamdulillah, aku juga berasa sangat kagum dengan kepantasan dan kebolehan HA Yassin menjahit luka di dahi Haziq. Terus hilang segala keraguan di dalam hatiku. Semenjak dari kejadian tersebut, aku telah mula yakin dengan semua HA yang bertugas di setiap kilang sawit suamiku bertugas.
Selain itu, kami sekeluarga turut berhadapan dengan perkara yang mencemaskan yang masih lagi melibatkan golf. Parut yang kekal di dahi Haziq tidak mematahkan semangat kami untuk terus berlatih bermain golf. Seperti biasa, aku, suami dan anak-anak berlatih memukul bola golf di luar halaman rumah kami. Selalunya suamiku akan memukul bola secara leret atau putting, namun kali ini suamiku ingin mencuba gaya pitching atau dalam erti kata lain memukul bola seperti bermain di padang golf.
Sekali dua tu bola melantun cantiklah tapi malang tak berbau apabila bola yang suamiku pukul terhayun sehingga menepati sliding door rumah kami dan retak teruk dibuatnya.  Aku pun naik anginlah dengan suamiku kerana telah memungkiri janji. Seperti kata pepatah, sudah bagi betis nak paha pula. Huhuhu. Nak tak nak, kenalah kami mengganti balik sliding door yang baru.

Dek kerana selalu berlatih golf di luar halaman rumah kami, aku sekeluarga terpanggil untuk menyelitkan aktiviti memukul bola golf secara putting dan bukannya pitching kepada anak-anak warga kilang sawit kami bagi menggalakkan mereka berminat untuk bermain golf. Manalah tahu ada antara anak-anak warga kilang suamiku yang berjaya menempa nama menjadi pemain golf terkemuka suatu hati nanti. Suami aku telah membeli golf putting carpet bagi tujuan tersebut. Setiap anak-anak tersebut diberi tiga kali peluang memukul bola golf ke dalam lubang golf putting carpet. Sesiapa di antara mereka yang dapat memasukkan bola golf yang paling banyak ke dalam lubang tersebut akan dikira sebagai pemenang. Seronok, kan? Rasa-rasanya anak siapa yang menang, ya? Huhuhu. 

Ada gaya tak anak-anak warga kilang sawit suamiku untuk menjadi bintang golf ternama satu hari nanti…
Sehingga kini, kami sekeluarga masih meneruskan berlatih bermain golf di luar halaman rumah kami. Semoga suatu hari nanti kami dapat bersama-sama bermain di padang golf. Manalah tahu ada di antara kami anak-beranak berjaya mendapat Hole In One yang bermaksud, sekali pukul sahaja bola golf tersebut terus masuk ke dalam lubang. Amin.