APABILA
suamiku ditawarkan untuk bekerja di kilang sawit di Ulu Tiram, peluang bermain
golf datang tanpa disangka-sangka. Hatiku gembira bukan kepalang kerana aku
selalu membayangkan bagaimana bergayanya suamiku jika dapat bermain golf di
samping Tiger Wood, setiap kali aku menonton Tiger Wood bertanding di kejohanan
golf. Kebetulan syarikat yang suamiku bekerja pada kali ini seringkali
menganjurkan pertandingan golf.
Rata-rata mereka yang berjawatan pengurus dan ke atas pandai bermain golf. Di
sinilah suamiku mula berjinak-jinak dengan sukan golf. Aku sendiri memberikan
galakan kepada suamiku untuk berlatih memukul bola golf di driving range selepas waktu bekerja.
“Balik nanti, umi urut badan abang, ya?” kataku kepada suami pada setiap
latihan di driving range tersebut.
Begitulah kebiasaannya selepas suamiku pulang dari bermain golf. Lama kelamaan aku dan anak-anak turut ‘turun
padang’ sekali bersama suamiku berlatih memukul bola golf. Fuh! Penat betul aku
berlatih memukul 100 bola golf tetapi bila melihatkan gelagat anak-anakku yang
bersemangat memukul bola golf satu demi satu, penat aku terus hilang.
Apabila suamiku ditugaskan berpindah ke kilang sawit di Kota Tinggi, dia
tidak lagi berpeluang untuk ke driving
range kerana lokasi kilang sawit kami agak jauh ke dalam. Jadi, untuk
memastikan bakat suamiku dalam golf terus bersinar, aku sekeluarga sepakat
untuk berlatih memukul bola golf di luar halaman rumah kami. Aku awal-awal lagi
sudah memberi amaran kepada suamiku supaya memukul bola golf dengan perlahan
dan berhati-hati kerana bimbang terkena atap rumah staf-staf yang berdekatan.
Alhamdulillah, latihan memukul bola golf kami berjalan dengan lancar
sehinggalah berlakunya trajedi yang tidak disangka-sangka.
Ala-ala ‘Tragedi Oktober’ kononnya! Huhuhu. Parut yang kekal di dahi putera
keduaku, Haziq, menjelaskan segala-galanya.
Parut Haziq di atas kening kirinya…Takpe..anak umi masih handsome..
Seperti biasa aku akan menjadi pengadil di tepi halaman rumah kami untuk
memastikan seorang demi seorang mengambil giliran memukul bola golf
masing-masing. Ini bertujuan mengelakkan sebarang kecederaan berlaku. Apabila
tiba giliran putera pertamaku, Haikal, memukul, secara tiba-tiba Haziq meluru
ke arah abangnya dan selepas itu kedengaran Haziq menjerit sambil menangis.
Aku dan suamiku yang berdiri di tepi halaman melepaskan club masing-masing dan berlari ke arah
anak-anak kami untuk melihat apa yang sedang berlaku. Masya-Allah! Darah
berlumuran membasahi seluruh muka Haziq dan aku mula menangis melihat keadaan
Haziq yang agak parah.
“Abang, darah dari mana ni, bang? Mata Haziq kena ke?”
Dengan nada serius suamiku mengarahkan aku mengambil kain tuala di dalam
rumah untuk mengelap darah yang berlumuran. “Cepat sikit, umi,” arah suamiku.
Selesai mengelap darah yang berlumuran tersebut, aku berasa sungguh lega.
Haziq bernasib baik kerana hanya cedera di dahi sahaja dan bukannya di mata.
Terima kasih, Allah! Syukur, alhamdulillah. Namun aku melihat agak teruk juga dahi
Haziq terkoyak dan darah tidak berhenti-henti mengalir. Suamiku dengan pantas
membawa Haziq ke Klinik Estet yang memang terletak berdekatan dengan rumah
kami. Terus terang aku katakan, aku berasa ragu-ragu juga pada mulanya dengan
kemampuan Hospital Assistance (HA)
Yassin yang bertugas di sana. Maklumlah aku sudah terbiasa mendapat rawatan di
klinik swasta sewaktu aku bekerja dahulu.
HA Yassin mencadangkan agar luka di dahi Haziq perlu dijahit dengan segera
bagi mengelakkan Haziq kehilangan lebih banyak darah lagi. Sebelum HA Yassin
menjahit dahi Haziq yang terkoyak tersebut, dia perlu membius sekitar dahi
Haziq. Ya, Allah! Meronta jugalah Haziq apabila dibiuskan. Sebak betul dan
berlinangan air mataku melihatkan Haziq meronta kesakitan di atas katil sambil
memelukku erat.
Dengan nada yang sedih, aku memujuk, “Haziq, Haziq anak umi dan ayah yang
kuat, kan? Umi nak Haziq bayangkan kita mandi swimming pool. Seronokkan Haziq berenang?”
Tidak lama kemudian, HA Yassin menjalankan tugasnya dan Haziq dikenakan
lima jahitan serta parutnya kekal sehingga kini.
Tak semena-mena, boleh terkeluar pula dari mulut Haziq, “Umi, boleh tak
Haziq main golf lagi?”
Suasana cemas di dalam bilik rawatan bertukar menjadi geli hati apabila
kami semua mendengarnya.
HA Yassin membalas, “Dah kena macam ‘ni pun, Haziq ada hati nak main golf
lagi ke?”
Haikal pula yang dari tadinya senyap mungkin kerana berasa bersalah turut
menangis melihatkan adiknya Haziq yang mengerang kesakitan. Haikal memujuk, “Haziq,
nanti kita main golf sama-sama lagi ya? Haziq tahan sikit, ya?”
Alhamdulillah! Aku sangat mengagumi semangat kental anak-anakku. Alhamdulillah,
aku juga berasa sangat kagum dengan kepantasan dan kebolehan HA Yassin menjahit
luka di dahi Haziq. Terus hilang segala keraguan di dalam hatiku. Semenjak dari
kejadian tersebut, aku telah mula yakin dengan semua HA yang bertugas di setiap
kilang sawit suamiku bertugas.
Selain itu, kami sekeluarga turut berhadapan dengan perkara yang
mencemaskan yang masih lagi melibatkan golf. Parut yang kekal di dahi Haziq
tidak mematahkan semangat kami untuk terus berlatih bermain golf. Seperti
biasa, aku, suami dan anak-anak berlatih memukul bola golf di luar halaman
rumah kami. Selalunya suamiku akan memukul bola secara leret atau putting, namun kali ini suamiku ingin
mencuba gaya pitching atau dalam erti
kata lain memukul bola seperti bermain di padang golf.
Sekali dua tu bola melantun cantiklah tapi malang tak berbau apabila bola
yang suamiku pukul terhayun sehingga menepati sliding door rumah kami dan retak teruk dibuatnya. Aku pun naik anginlah dengan suamiku kerana
telah memungkiri janji. Seperti kata pepatah, sudah bagi betis nak paha pula. Huhuhu.
Nak tak nak, kenalah kami mengganti balik sliding
door yang baru.
Dek kerana selalu berlatih golf di luar halaman rumah kami, aku sekeluarga
terpanggil untuk menyelitkan aktiviti memukul bola golf secara putting dan bukannya pitching kepada anak-anak warga kilang
sawit kami bagi menggalakkan mereka berminat untuk bermain golf. Manalah tahu
ada antara anak-anak warga kilang suamiku yang berjaya menempa nama menjadi
pemain golf terkemuka suatu hati nanti. Suami aku telah membeli golf putting carpet bagi tujuan
tersebut. Setiap anak-anak tersebut diberi tiga kali peluang memukul bola golf
ke dalam lubang golf putting carpet. Sesiapa
di antara mereka yang dapat memasukkan bola golf yang paling banyak ke dalam
lubang tersebut akan dikira sebagai pemenang. Seronok, kan? Rasa-rasanya anak
siapa yang menang, ya? Huhuhu.
Ada gaya tak anak-anak warga kilang sawit suamiku untuk menjadi bintang golf ternama satu hari nanti…
Sehingga kini, kami sekeluarga masih meneruskan berlatih bermain golf di
luar halaman rumah kami. Semoga suatu hari nanti kami dapat bersama-sama
bermain di padang golf. Manalah tahu ada di antara kami anak-beranak berjaya
mendapat Hole In One yang bermaksud,
sekali pukul sahaja bola golf tersebut terus masuk ke dalam lubang. Amin.
No comments:
Post a Comment