Tuesday, 22 January 2013

TERBANG...


BETULLAH kata orang, lain padang, lain belalang. Kalau di Alotau, Papua New Guinea, angin bertiup sepoi-sepoi bahasa, lain pula anginnya di kilang sawit di Kluang ini. Pada ketika itu, suamiku baru sahaja ditukarkan bertugas ke daerah ini. Sesekali kedengaran siulan angin menyusup ke telingaku. Terkadang anginnya bertiup sepoi-sepoi bahasa dan kadang-kala anginnya seperti ribut. Fiu! Fiu! Fiu! Begitulah bunyi angin tersebut. Apabila aku terdengar bunyi angin, aku akan mencuri pandang untuk melihat apa yang sedang berlaku di luar kawasan rumahku. Subhanallah! Allah Maha Besar! Rupa-rupanya bukan angin biasa yang bertiup namun ribut kecil seakan-akan puting beliung. Aku tergamam seketika apabila memerhatikan dedaunan kering yang tadinya berselerak tiba-tiba berpusar membentuk pusaran puting beliung.
Sekembalinya suamiku dari kerja, aku pun menceritakan pengalaman pertamaku berhadapan dengan situasi angin puting beliung tersebut. Dengan selamba suamiku menjawab;
“La, biasalah tu. Kan pokok-pokok sawit estet ni semua baru ditebang!”

Menurut suamiku, pokok-pokok sedia ada telah tua dan perlu ditebang. Pokok-pokok ini akan ditanam semula dengan benih anak-anak pokok kelapa sawit yang baru untuk mendapatkan hasil yang lebih baik. Kalau nak tahu, inilah proses yang dikenali dengan nama replanting. Selalunya jangka hayat bagi sebatang pokok kelapa sawit adalah 25 tahun sebelum ditebang dan ditanam dengan anak pokok yang baru. Memang semasa tempoh replanting ini, pemandangan estet sangat cantik. Seluas saujana mata memandang dek kerana kehijauan anak-anak pokok sawit yang tumbuh renek itu. Kalau tidak, semuanya tumbuh tegak meninggi!
Ha! Luas Saujana Mata Memandangkan Ketika Proses "Replanting" Kelapa Sawit ni...


Selain berhadapan dengan puting beliung yang mencemaskan, aku juga turut berhadapan dengan peristiwa lain yang menggelikan hati. Sedang suamiku asyik memandu pulang dari bercuti di kampung, suamiku terus memandu dan terus memandu. Sudahlah malam pula pada waktu tu! Aku kehairanan kerana selalunya kami telah sampai tetapi pada kali ini agak pelik. Rupa-rupanya kami telah terlajak dari jalan yang sepatutnya kami lalui. Huhuhu. Semasa dalam proses replanting ini, semua pokok kelihatan sama sahaja. Maka, tidak hairanlah apabila suamiku boleh terlajak. Itu belum lagi kalau aku yang memandu kereta. Kalau tidak, tak tahulah langsung sampai ke mana. Huhuhu.
Pengalaman-pengalaman yang aku tempuhi ketika replanting ini tidaklah seteruk pengalaman sahabat-sahabatku di kilang sawit di Segamat. Ketika aku mengikuti suamiku bekerja di Sarawak, aku menerima mesej pesanan ringkas dari sahabatku, Kak Yati Seman.
Salam, puan. Puan tak dengar apa-apa cerita yang berlaku di kilang sawit kami ni? Habis teruk, puan. Banyak pokok yang tumbang, atap rumah berterbangan, siling pecah dan yang paling mengerikan, apabila terdapat segelintir pekerja yang menyaksikan beberapa pokok tercabut dengan akar-akarnya sekali.
Kebetulan pada ketika itu, sahabat baikku, Lela ‘Lopes De Squera’, berada bersamaku ketika ini. Dia datang ke Sarawak bersama abah dan adik-adikku. Apa lagi, Lela pun turut berasa cemas memikirkan suaminya yang sedang bekerja di kilang sawit di sana. Lantas, kami semua segera melayari internet dan dapat melihat situasi sebenar yang sedang melanda melalui gambar-gambar yang dimuat naik oleh sahabat-sahabat kami di laman muka buku atau “Facebook”.
Kami juga dimaklumkan bahawa ketika semua orang dalam keadaan kelam-kabut menghadapi puting beliung tersebut, sayup-sayup kedengaran suara azan dari sebuah rumah pekerja. Subhanallah! Kak Yati juga ada menerangkan kepadaku bahawa sebelum kejadian, dia terlihat seperti ada sesuatu berpusing seakan-akan puting beliung yang berwarna hitam di atas.
Memang jelas kelihatan walaupun dari kejauhan kerana estet di tempatnya juga sedang melakukan proses replanting. Pada ketika itu, hanya Allah SWT yang mengetahui betapa sedih dan sayunya aku apabila mengenangkan nasib yang melanda sahabat-sahabatku di sana. Maklumlah suamiku juga dulu pernah bekerja di kilang sawit di sana. Aku hanya mampu berdoa dari kejauhan sahaja agar segalanya selamat. Mujurlah selain pihak syarikat, pihak UMNO juga ada datang membantu untuk menghulurkan bantuan.

Aku bersyukur kerana tiada nyawa yang terbang-melayang seperti terbangnya atap-atap rumah sahabat-sahabatku. Alhamdulillah. Syukur kepada Allah SWT di atas pengalaman menyaksikan puting beliung. Semoga aku dan sahabat-sahabat akan lebih bersedia untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan terjadinya puting beliung yang lain dalam masa 25 tahun lagi semasa proses replanting yang akan datang. Amin.

No comments:

Post a Comment