Monday 16 April 2012

Juruaudit Kilang








           Aku berasa sangat teruja apabila suamiku mencadangkan agar aku menubuhkan satu team juruaudit wanita bagi memilih stesen yang paling bersih di kilang. Memang sudah lama aku teringin masuk ke dalam kawasan kilang kelapa sawit untuk melihat bagaimana buah sawit diproses menjadi minyak sawit. Kilang sawit suamiku kali ini menggunakan “vertical sterilizer”. Selain ‘vertical steriliser’, suamiku pernah mengendalikan kilang sawit menggunakan ‘horizontal steriliser’.  Selalunya aku hanya sampai ke pejabat suamiku saja.
            Pada awal pagi lagi, aku, Kak Mud, Julia dan Kak Ros sudah bersiap sedia dengan memakai seluar panjang dan kasut sukan. Aku masih teringat betapa bersemangatnya kami semua pada pagi itu. Supervisor kilang, Encik Omar menunjukkan kami stesen pertama yang berada di kawasan luar kilang, iaitu ramp, tempat penerimaan buah sawit. Kami dapat melihat banyak buah sawit yang perlu diproses pada hari itu.
            Seterusnya kami di bawa masuk ke dalam kawasan kilang. Kami bertiga dikehendaki memakai ‘ear plug’ dalam telinga kerana memasuki kawasan operasi kilang. “Kalau tak pakai ‘ear plug’ ni puan, kita boleh jadi pekak,” jelas Encik Omar. "Oooohhhh....ok..", aku menganggukkan kepala mengiyakan penjelasan Encik Omar. Aku dapat merasakan kepalaku sudah mula berdenyut-denyut ringan kerana tidak tahan dengan bunyi dari mesin yang sedang beroperasi. Stesen seterusnya ialah “sterilizer” di mana buah sawit akan diproses. Kami diberi peringatan agar jangan terlalu dekat kerana “sterilizer” itu sangat panas. Langkah demi langkah, kami meneruskan audit kami dengan penuh minat.
            Banyak stesen yang kami lawati seperti stesen “press” di mana pemerahan minyak berlaku, stesen ’clarification” yang menulenkan minyak sawit dan stesen “kernel plant” di mana isirung sawit diproses. "Kalau puan nak tahu, tiap-tiap hari Encik Wan akan naik tangga ni untuk lihat keadaan tangki minyak"' cerita Encik Omar. "Ehh! Tinggi betul tangga ni Encik Omar, berani juga ye Encik Wan naik tinggi-tinggi ni", balasku lagi. Aku mencuba juga untuk naik tangga tersebut tapi baru separuh jalan aku dah terasa gayat lalu aku mambatalkan niatku untuk meneruskan pendakian tangga tersebut. Aku perhatikan bukan mudah untuk bekerja di dalam kilang sawit ini kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutamanya jika kilang rosak. Kalau kilang rosak, memang aku terpaksa meredhakan pemergian suamiku ke kilang walaupun pada tengah malam hingga awal pagi. Masih aku ingat pengalaman pertama kilang suamiku rosak. Aku yang sememangnya penakut tidak dapat memejamkan mataku sehingga lewat tengah malam. Jadi, untuk menghilangkan ketakutan, aku makan buah rambutan sehingga tiga plastik penuh sehinggalah suamiku balik ke rumah pada awal pagi. Suamiku tergelak besar melihatkan aku tidur tersengguk-sengguk di atas sofa dengan kulit buah rambutan bertaburan. Kemudian, dek kerana makan buah rambutan terlalu banyak, aku terpaksa di kejarkan ke klinik berdekatan pada keesokan paginya  disebabkan aku mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Doktor mengatakan bahawa aku mengalami keracunan makanan. Aku dan suami hanya menjeling manja ke arah satu sama lain dan tergelak apabila terkenangkan buah rambutan yang banyak sekali aku makan. Ha..ha…
            Selesai membuat rondaan, kami bertiga dikehendaki membuat keputusan stesen mana yang paling bersih. Sebaik habis tugasan audit tersebut, aku menitiskan air mata memikirkan betapa berat dan mencabarnya tugas suamiku sebagai seorang pengurus kilang sawit. Apabila suamiku pulang dari bekerja pada petang itu, aku terus memeluknya dan mengucapkan terima kasih kepada suamiku di atas pengalaman berharga pagi tadi.  Kepalaku yang berdenyut-denyut tadi berterusan selama seminggu juga lamanya. Pada masa tu, panadollah yang menjadi santapan rutin harianku. Ha..Ha..Ha.. Mungkin ini adalah kerana aku tidak biasa bekerja di kilang. Aku menceritakan mengenai pengalamanku kepada semua isteri-isteri staf dan pekerja. Aku beharap agar mereka menjadi lebih memahami dan menghargai suami masing-masing kelak. “Oh! Patutlah puan, abang Sani selalu suruh anak-anak senyap bila dia balik berehat sekejap di rumah. Rupa-rupanya abang Sani nakkan suasana senyap sebab seharian bekerja dalam suasana yang bising,” kata Kak Ita Sani. Kepada anak-anak mereka pula, aku menasihatkan agar mereka semua belajar bersungguh-sungguh untuk membalas pengorbanan dan jasa ayah mereka yang bekerja di kilang sawit. Insyaallah, aktiviti melawat kilang sawit ini akan cuba aku usahakan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup isteri-isteri staf dan pekerja suamiku agar mereka dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerjaya suami masing-masing.

Saturday 14 April 2012

Kek Lapis Facebook

               Semenjak aku berhijrah ke bumi kenyalang ini, aku sentiasa tertarik dengan kecantikan kek lapis Sarawaknya yang cantik lagi menarik dengan pelbagai lapisan warna. Rasanya pula…Ummppph!! Sedap tak terkata….Ada kek lapis oreo, kek lapis cadburry, kek lapis masam-masam manis dan bermacam-macam lagi. Selalu jugalah aku belikan ole-ole kek lapis Sarawak ini buat keluargaku tercinta di Semenanjung sana. Aku berazam satu hari nanti aku mesti mengambil peluang untuk belajar macam mana nak buat kek lapis Sarawak. Kalau tak, memang rugi! He..he..

 Alhamdulillah, semasa aktiviti Persatuan Wanita Kilang Sawit suamiku bekerja baru-baru ini, aku berkesempatan belajar buat kek lapis Sarawak yang simple. Maksud aku yang takde patern-patern yang canggih tu. Terima kasih tak terhingga kepada Reen, isteri kepada staf suamiku yang memberi tunjuk ajar kepada kami semua…Emmm…ingatkan senang aje nak buat kek lapis Sarawak ni, tapi rupa-rupanya pembikinan kek lapis Sarawak ini memerlukan masa dan kesabaran yang cukup tinggi..Mana taknya, sebiji kek lapis mengambil masa hampir 4 jam!  So, aku tabik habislah dengan mereka-mereka yang ada masa dan kesabaran untuk membuat beberapa jenis kek lapis. Buat semua, aku kongsikan di sini, resepi kek lapis Sarawak yang diberi nama “Kek Lapis Facebook”… Alahai.... memang nyaman(orang Sarawak cakap sedap as nyaman) sungguh!! Memang berbaloi la mencuba. 


                             



Bahan-Bahan :

10 biji                    telur
1 gelas                  gula halus
1 gelas                  tepung gandum
1 gelas                  tepung roti marie (diramas hingga menjadi serbuk/diblend)
1 gelas                  horlick
1 tin kecil              susu pekat manis
500 g                     mentega/butter
1 tin kecil              serikaya
2 sudu teh             esen vanilla
1 botol kecil          ovalette
Pewarna hijau

Cara membuatnya :

           Pukul telur dan gula hingga kembang. Kemudian masukkan mentega/butter dan ovalette. Pukul lagi hingga kembang.




           Masukkan susu, esen vanilla, serikaya, horlick, tepung gandum dan tepung roti marie. Gaul hingga sebati.

           Bahagikan kepada 2 bahagian :
1.       Warna asal (plain color)
2.       Warna hijau




Rupa2nya ini teknik yang Reen guna untuk make sure kek lapis tu sama rata ketinggian dia antara satu lapis ngan satu lapis yang lain. Bagi setiap lapis, Reen ukur takat setengah cawan tu aje...


    Bakar secara berlapis-lapis (selang-selikan warna hijau dan warna asal) di bawah suhu 180° selama 1 jam menggunakan loyang empat segi 7 x 8 inci nyer. Bakar dengan menggunakan api atas sahaja. Sebelum letak lapisan kek lapis yang pertama, alas dulu menggunakan kertas minyak...



Reen bakar  setiap lapis lebih kurang 2 ke 3 minit. Memang x leh wat kerja lainlah klu wat kek lapis ni..Klu tak, alamatnya hanguslah! Ha..Ha.. Cuba perhartikan betul-betul..Sebelum nak letak kek lapis ke dua, kita kena tekan tekan sikit pakai alat yang direka khas tuk buat kek lapis. Reen kata kita boleh beli kat kedai kek....

          
               Ceng..Ceng...Ceng..inilah hasilnya kek lapis facebook. Bila pikir-pikir balik, kalau aku nak buat kek lapis ni, aku nak guna setengah adunan ajelah! So, dari 4 jam, aku bolehlah buat 2 jam aje...Ha Ha! So, sekarang, cuba tanya diri sendiri, adakah anda penyabar atau tidak nak wat kek lapis sarawak ni...Hu hu hu...Apapun, selamat mencuba!























Tuesday 3 April 2012

Nasi Kukus Berlaukkan Ayam Goreng Berempah dan Ayam Masak Kerutuk



            Alhamdulillah, setelah sekian lama baru aku dapat merealisasikan impian aku untuk membuat nasi kukus. Selalunya bila balik Semenanjung, memang aku sekeluarga tak pernah miss makan nasi kukus berlaukkan ayam goreng berempah dan kuah kerutuk bersama cili. Memang nasi kukus kat depan Greewood Park tu betul2 terangkat. Sedap betul. Tiap2 hari org ramai beratur sampai tak cukup tempat nak beratur lagi dah. Emmmm...Kat Bintulu ni, tak ada lagi peniaga yang jual nasi kukus ni. Suami aku kata, apa kata umi berniaga nasi kukus kat depan umah? Ha ha..aduhai..macam manalah nak berniaganya sebab ngan hafiz masih kecik lagi. Bukan nasi kukus aje, tapi nasi lemak pun dia nak suruh aku berniaga..Konon-kononnya aku nyer nasi lemak paling sedap di Bintulu...He..he..So aku postkan resepi nasi kukus bersama ayam goreng berempah dan kerutuk ayam untuk tatapan semua. Selamat Mencuba....



NASI KUKUS

Bahan
2 cawan beras panjang
3 cawan air
1 helai daun pandan


Cara
1. Basuh beras dan rendamkan 30 minit ke 40 minit
2. Masukkan beras, air serta daun pandan (untuk mewangikan beras) ke dalam loyang dan kukus sehingga naik wap dan nasi masak. [lebih kurang 30 minit]

AYAM GORENG BEREMPAH

Bahan
1 ekor ayam [potong 8 dan bersihkan]
1 senduk besar atau 3 sudu besar kari ayam/daging
1 senduk besar atau 3 sudu besar cili serbuk
1 senduk besar atau 3 sudu besar serbuk kunyit
½ senduk besar atau 1 ½ sudu besar garam laut (Natural Health Farm Sea Salt)
½ senduk besar atau 1 ½ sudu besar serbuk ayam Knor  
2 ulas bawang putih  
6 inci halia
3 batang serai
2 tangkai daun kari

Cara
1. Blend bawang putih, serai dan halia hingga halus.
2. Gaulkan bahan yang telah diblend tadi bersama2 serbuk kari, cili serbuk, serbuk kunyit, garam laut dan serbuk ayam ke dalam ayam dan perap selama beberapa jam.
3. Gorengkan dalam minyak yg banyak. Semasa ayam sudah hendak garing sedikit, baru taburkan daun kari kedalam minyak tersebut dan tunggu sehingga ayam betul2 garing. (mak mertua kata bila daun kari masuk masa ayam nak garing, baru aroma ayam akan lebih menyerlah!)



AYAM MASAK KERUTUK

Bahan
3 ketul ayam dipotong kecil-kecil (saya guna 3 ketul saja sebab menu utama ayam goreng berempah)
4 sudu besar rempah kerutuk
3 cawan santan pekat
2 sudu besar kicap pekat
1 keping gula manisan (beli kat Kelantan yg bulat leper-leper)
2 sudu besar kerisik
Garam laut (Natural Health Farm Sea Salt)

Bahan menumis
½ bawang besar
½ inci halia
2 ulas bawang putih
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
2 kuntum bunga cengkih
Sedikit minyak untuk menumis

Cara
1. Ayam yang telah dipotong kecil-kecil dibersihkan dan ditoskan.
2. Kisar bahan menumis iaitu bawang besar, bawang putih dan halia dan kemudian campurkan dengan rempah kerutuk.
3. Panaskan minyak dan tumis kulit kayu manis, bunga lawang, bunga cengkih sehingga naik wangi.
4. Kemudian, masukkan campuran rempah kerutuk tadi hingga pecah minyak. (Jangan terlalu lama sangat menumis campuran rempah kerutuk ini kerana rempah kerutuk yang dibuat dari Kelantan ini telah ditumis sedikit sebelum ini semasa dalam proses membuatnya- menurut kata mak mertua tersayang. He he..)
5. Masukkan ayam dan santan. Masak hingga kuah betul2 pekat.
6. Akhir sekali masukkan kicap, garam laut, gula manisan dan juga kerisik.
7. Sedia untuk dihidangkan.


SAMBAL

Bahan
5 tangkai cili merah
5 tangkai ciliapi (kalau tak nak pedas, boleh kurangkan ciliapi nilah ye)
2 biji limau nipis [ambil jusnya]
garam laut secukup rasa
gula secukup rasa

Cara
1. Masukkan semua bahan kecuali jus asam limau dalam blender dan mesin kasar.
2. Tuangkan dalam mangkuk dan gaulkan dengan jus asam limau.
3. Rasakan masam dan masinnya.









Monday 2 April 2012

Cuci-Cuci


Sudah menjadi rutinku menjadikan aktiviti mencuci kereta sebagai aktiviti bulanan keluargaku. Ini adalah sebagai salah satu cara untuk aku merapatkan “bonding” antara aku, suami dan anak-anak. Berbeza sewaktu tinggal di bandar dahulu, kedai cuci kereta sentiasa menjadi tempat persinggahanku. He..he.. Tanyalah siapa saja yang duduk di dalam estet, kereta mana yang tak pernah berhabuk. Kadang-kadang baru basuh hari ni, esok dah berhabuk semula disebabkan jalan tanah merah. Itu belum lagi bila tiba musim hujan yang akan membuatkan jalan tanah merah tersebut licin. Memang berlumpurlah kereta kami semua dibuatnya.  
Setiap kali ke bandar, pasti aku sekeluarga “glamour” kerana banyak mata-mata yang akan memerhatikan keadaan kereta kami yang berhabuk atau berlumpur. Mula-mula tu, aku berasa sangat malu bila diperhatikan orang. Kadang-kadang aku buat-buat tutup muka atau tunduk ke bawah untuk mengelakkan pandangan mereka. Namun, lama kelamaan aku dapat membiasakan diri. Bak kata pepatah “Alah bisa, tegal biasa”. Yang paling aku tak tahan apabila mendengar leteran dari abah tersayang. “Kau nikan kak, beli kereta mahal-mahal, cubalah kau jaga sikit. Kalau abah dapat kereta macam kau ni, abah mesti basuh tiap-tiap hari,” leter abah padaku. Memang setiap kali kunjungan mak dan abah tersayang ke kilang sawit suamiku bekerja, abah pasti menolongku membasuh keretaku. Sayang abah! Aku memang tabik habis pada abah sebab kereta abah memang abah jaga betul-betul. Abah kata mak dan abah dapat kereta susah. Umur 45 tahun baru mak dan abah dapat merasa pakai kereta. Sebelum ini, abah hanya setia pada motor trafiknya sahaja. Itu sebab abah memang jaga sungguh keretanya. Pantang kotor sikit pasti dicucinya! Ha..ha…
Namun, penghijrahan suamiku ke bumi kenyalang Sarawak memberikan aku sekeluarga pengalaman mencuci kereta yang berbeza sekali dan tidak dapat dilupakan sama sekali. Pada suatu hari, apabila selesai aku mempengerusikan mesyuarat Persatuan Wanita Kilang Sawit suamiku, aku di sapa oleh salah seorang staf suamiku iaitu Alvy. “Puan, cantiklah kereta yang puan baru beli,” sapa Alvy. Kebetulan kereta tersebut baru suamiku beli di Sarawak kerana kereta lama telahpun kami jual sebelum bertolak ke Papua New Guinea. “Bila ye puan nak cuci kereta puan ni?” tanya Alvy. “Eh! Takpelah Alvy, tak payahlah nak susah-susah cucikan kereta saya. Cukuplah kilang bersihkan jip yang tuan pakai tu. Nanti saya dikata menggunakan kemudahan syarikat sesuka hati pulak. Lagipun saya suka cuci kereta bersama tuan dan anak-anak,”balasku lagi.
Jawapanku rupa-rupanya mencetuskan keadaan gelihati di hati Regina, Cat, Ros, Carol dan lain-lain warga kilang yang hadir pada ketika itu. Hairan juga aku dibuatnya kerana aku rasa aku tidak membuat sebarang lawak. Dengan pantas, Alvy menerangkan, “Puan ni kelakarlah. Budaya kami di sini puan, kalau sesiapa yang beli barang baru, kami akan buat cuci-cuci. Cuci-cuci ni maksudnya kita buat makan-makan sikit bagi berkongsi kegembiraan membeli barang baru.” “Oh, iye ke macam tu Alvy. Punyalah saya ingat Alvy betul-betul nak tolong cucikan kereta saya tadi,” balasku sambil tergelak besar. Kalau macam tu, nanti saya bincang dengan tuan untuk kita buat makan-makan ye,” sambungku lagi. Sekembalinya suamiku dari bekerja, aku lantas menceritakan apa yang telah berlaku di kilang tadi. “Macam mana kita nanti ni abang? Berapa kali kita nak cuci-cuci ni sebab banyak lagi barang-barang baru yang kita kena beli lagi ni?” selorohku kepada suamiku. “Lepas giliran kita ni, nampaknya assistant abang Zul dan Lin pula yang akan terkena nanti, he..he..,” sambungku lagi.
Aku dapat merasakan kegembiraan dan ukhwah yang terjalin lebih rapat antara seluruh warga kilang dengan budaya cuci-cuci ini. Moga budaya cuci-cuci ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat penduduk di bumi kenyalang ini….