Monday, 16 April 2012

Juruaudit Kilang








           Aku berasa sangat teruja apabila suamiku mencadangkan agar aku menubuhkan satu team juruaudit wanita bagi memilih stesen yang paling bersih di kilang. Memang sudah lama aku teringin masuk ke dalam kawasan kilang kelapa sawit untuk melihat bagaimana buah sawit diproses menjadi minyak sawit. Kilang sawit suamiku kali ini menggunakan “vertical sterilizer”. Selain ‘vertical steriliser’, suamiku pernah mengendalikan kilang sawit menggunakan ‘horizontal steriliser’.  Selalunya aku hanya sampai ke pejabat suamiku saja.
            Pada awal pagi lagi, aku, Kak Mud, Julia dan Kak Ros sudah bersiap sedia dengan memakai seluar panjang dan kasut sukan. Aku masih teringat betapa bersemangatnya kami semua pada pagi itu. Supervisor kilang, Encik Omar menunjukkan kami stesen pertama yang berada di kawasan luar kilang, iaitu ramp, tempat penerimaan buah sawit. Kami dapat melihat banyak buah sawit yang perlu diproses pada hari itu.
            Seterusnya kami di bawa masuk ke dalam kawasan kilang. Kami bertiga dikehendaki memakai ‘ear plug’ dalam telinga kerana memasuki kawasan operasi kilang. “Kalau tak pakai ‘ear plug’ ni puan, kita boleh jadi pekak,” jelas Encik Omar. "Oooohhhh....ok..", aku menganggukkan kepala mengiyakan penjelasan Encik Omar. Aku dapat merasakan kepalaku sudah mula berdenyut-denyut ringan kerana tidak tahan dengan bunyi dari mesin yang sedang beroperasi. Stesen seterusnya ialah “sterilizer” di mana buah sawit akan diproses. Kami diberi peringatan agar jangan terlalu dekat kerana “sterilizer” itu sangat panas. Langkah demi langkah, kami meneruskan audit kami dengan penuh minat.
            Banyak stesen yang kami lawati seperti stesen “press” di mana pemerahan minyak berlaku, stesen ’clarification” yang menulenkan minyak sawit dan stesen “kernel plant” di mana isirung sawit diproses. "Kalau puan nak tahu, tiap-tiap hari Encik Wan akan naik tangga ni untuk lihat keadaan tangki minyak"' cerita Encik Omar. "Ehh! Tinggi betul tangga ni Encik Omar, berani juga ye Encik Wan naik tinggi-tinggi ni", balasku lagi. Aku mencuba juga untuk naik tangga tersebut tapi baru separuh jalan aku dah terasa gayat lalu aku mambatalkan niatku untuk meneruskan pendakian tangga tersebut. Aku perhatikan bukan mudah untuk bekerja di dalam kilang sawit ini kerana terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran dan dugaan terutamanya jika kilang rosak. Kalau kilang rosak, memang aku terpaksa meredhakan pemergian suamiku ke kilang walaupun pada tengah malam hingga awal pagi. Masih aku ingat pengalaman pertama kilang suamiku rosak. Aku yang sememangnya penakut tidak dapat memejamkan mataku sehingga lewat tengah malam. Jadi, untuk menghilangkan ketakutan, aku makan buah rambutan sehingga tiga plastik penuh sehinggalah suamiku balik ke rumah pada awal pagi. Suamiku tergelak besar melihatkan aku tidur tersengguk-sengguk di atas sofa dengan kulit buah rambutan bertaburan. Kemudian, dek kerana makan buah rambutan terlalu banyak, aku terpaksa di kejarkan ke klinik berdekatan pada keesokan paginya  disebabkan aku mengalami muntah-muntah yang agak teruk. Doktor mengatakan bahawa aku mengalami keracunan makanan. Aku dan suami hanya menjeling manja ke arah satu sama lain dan tergelak apabila terkenangkan buah rambutan yang banyak sekali aku makan. Ha..ha…
            Selesai membuat rondaan, kami bertiga dikehendaki membuat keputusan stesen mana yang paling bersih. Sebaik habis tugasan audit tersebut, aku menitiskan air mata memikirkan betapa berat dan mencabarnya tugas suamiku sebagai seorang pengurus kilang sawit. Apabila suamiku pulang dari bekerja pada petang itu, aku terus memeluknya dan mengucapkan terima kasih kepada suamiku di atas pengalaman berharga pagi tadi.  Kepalaku yang berdenyut-denyut tadi berterusan selama seminggu juga lamanya. Pada masa tu, panadollah yang menjadi santapan rutin harianku. Ha..Ha..Ha.. Mungkin ini adalah kerana aku tidak biasa bekerja di kilang. Aku menceritakan mengenai pengalamanku kepada semua isteri-isteri staf dan pekerja. Aku beharap agar mereka menjadi lebih memahami dan menghargai suami masing-masing kelak. “Oh! Patutlah puan, abang Sani selalu suruh anak-anak senyap bila dia balik berehat sekejap di rumah. Rupa-rupanya abang Sani nakkan suasana senyap sebab seharian bekerja dalam suasana yang bising,” kata Kak Ita Sani. Kepada anak-anak mereka pula, aku menasihatkan agar mereka semua belajar bersungguh-sungguh untuk membalas pengorbanan dan jasa ayah mereka yang bekerja di kilang sawit. Insyaallah, aktiviti melawat kilang sawit ini akan cuba aku usahakan sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup isteri-isteri staf dan pekerja suamiku agar mereka dapat mengetahui dengan lebih lanjut mengenai kerjaya suami masing-masing.

No comments:

Post a Comment