Monday, 2 April 2012

Cuci-Cuci


Sudah menjadi rutinku menjadikan aktiviti mencuci kereta sebagai aktiviti bulanan keluargaku. Ini adalah sebagai salah satu cara untuk aku merapatkan “bonding” antara aku, suami dan anak-anak. Berbeza sewaktu tinggal di bandar dahulu, kedai cuci kereta sentiasa menjadi tempat persinggahanku. He..he.. Tanyalah siapa saja yang duduk di dalam estet, kereta mana yang tak pernah berhabuk. Kadang-kadang baru basuh hari ni, esok dah berhabuk semula disebabkan jalan tanah merah. Itu belum lagi bila tiba musim hujan yang akan membuatkan jalan tanah merah tersebut licin. Memang berlumpurlah kereta kami semua dibuatnya.  
Setiap kali ke bandar, pasti aku sekeluarga “glamour” kerana banyak mata-mata yang akan memerhatikan keadaan kereta kami yang berhabuk atau berlumpur. Mula-mula tu, aku berasa sangat malu bila diperhatikan orang. Kadang-kadang aku buat-buat tutup muka atau tunduk ke bawah untuk mengelakkan pandangan mereka. Namun, lama kelamaan aku dapat membiasakan diri. Bak kata pepatah “Alah bisa, tegal biasa”. Yang paling aku tak tahan apabila mendengar leteran dari abah tersayang. “Kau nikan kak, beli kereta mahal-mahal, cubalah kau jaga sikit. Kalau abah dapat kereta macam kau ni, abah mesti basuh tiap-tiap hari,” leter abah padaku. Memang setiap kali kunjungan mak dan abah tersayang ke kilang sawit suamiku bekerja, abah pasti menolongku membasuh keretaku. Sayang abah! Aku memang tabik habis pada abah sebab kereta abah memang abah jaga betul-betul. Abah kata mak dan abah dapat kereta susah. Umur 45 tahun baru mak dan abah dapat merasa pakai kereta. Sebelum ini, abah hanya setia pada motor trafiknya sahaja. Itu sebab abah memang jaga sungguh keretanya. Pantang kotor sikit pasti dicucinya! Ha..ha…
Namun, penghijrahan suamiku ke bumi kenyalang Sarawak memberikan aku sekeluarga pengalaman mencuci kereta yang berbeza sekali dan tidak dapat dilupakan sama sekali. Pada suatu hari, apabila selesai aku mempengerusikan mesyuarat Persatuan Wanita Kilang Sawit suamiku, aku di sapa oleh salah seorang staf suamiku iaitu Alvy. “Puan, cantiklah kereta yang puan baru beli,” sapa Alvy. Kebetulan kereta tersebut baru suamiku beli di Sarawak kerana kereta lama telahpun kami jual sebelum bertolak ke Papua New Guinea. “Bila ye puan nak cuci kereta puan ni?” tanya Alvy. “Eh! Takpelah Alvy, tak payahlah nak susah-susah cucikan kereta saya. Cukuplah kilang bersihkan jip yang tuan pakai tu. Nanti saya dikata menggunakan kemudahan syarikat sesuka hati pulak. Lagipun saya suka cuci kereta bersama tuan dan anak-anak,”balasku lagi.
Jawapanku rupa-rupanya mencetuskan keadaan gelihati di hati Regina, Cat, Ros, Carol dan lain-lain warga kilang yang hadir pada ketika itu. Hairan juga aku dibuatnya kerana aku rasa aku tidak membuat sebarang lawak. Dengan pantas, Alvy menerangkan, “Puan ni kelakarlah. Budaya kami di sini puan, kalau sesiapa yang beli barang baru, kami akan buat cuci-cuci. Cuci-cuci ni maksudnya kita buat makan-makan sikit bagi berkongsi kegembiraan membeli barang baru.” “Oh, iye ke macam tu Alvy. Punyalah saya ingat Alvy betul-betul nak tolong cucikan kereta saya tadi,” balasku sambil tergelak besar. Kalau macam tu, nanti saya bincang dengan tuan untuk kita buat makan-makan ye,” sambungku lagi. Sekembalinya suamiku dari bekerja, aku lantas menceritakan apa yang telah berlaku di kilang tadi. “Macam mana kita nanti ni abang? Berapa kali kita nak cuci-cuci ni sebab banyak lagi barang-barang baru yang kita kena beli lagi ni?” selorohku kepada suamiku. “Lepas giliran kita ni, nampaknya assistant abang Zul dan Lin pula yang akan terkena nanti, he..he..,” sambungku lagi.
Aku dapat merasakan kegembiraan dan ukhwah yang terjalin lebih rapat antara seluruh warga kilang dengan budaya cuci-cuci ini. Moga budaya cuci-cuci ini akan berkekalan hingga ke akhir hayat penduduk di bumi kenyalang ini….

No comments:

Post a Comment