Suamiku memasuki industri sawit sebaik sahaja beliau menamatkan pelajaran di Amerika Syarikat di dalam bidang kejuruteraan kimia. Masih aku ingat lagi pada tahun 1997 itu, Malaysia sedang mengalami kemelesetan ekonomi. Dek kerana peluang pekerjaan yang agak terhad, suamiku mencuba nasib untuk bekerja sebagai jurutera kadet di sebuah kilang sawit di Segamat. Pada ketika itu, aku masih lagi dalam tahun akhir pengajianku dalam jurusan perakauanan dan tatkala itu juga kami masih lagi di dalam tempoh pertunangan. “Siti, saya hanya ingin mencari pengalaman saja di dalam industri sawit ni, insyaallah dua tahun saja ye sebelum saya cari kerja lain, “ kata tunangku kepadaku. Lega sikit aku mendengarnya kerana setahu aku semua kilang-kilang sawit di Malaysia ini agak jauh kedudukannya dari bandar. Kalau tak, macam mana aku nak kerja bila dah kahwin nanti.
Dua tahun sudah berlalu, namun suamiku masih meneruskan kerjayanya di kilang sawit. Aku juga dapat melihat minat suamiku semakin bercambah di dalam industri ini. Masakan tidak, suamiku seakan tidak kisah apabila saban hari tubuh dan pakaiannya dipenuhi dengan calitan minyak hitam. Itu belum ditambah lagi dengan bau kuat dari buah sawit yang juga melekat ditubuhnya. Setiap kali pulang dari bekerja, pasti bau tengit yang mula-mula menusuk ke hidungku. Selalunya aku akan menjauhkan sedikit badanku daripadanya sejurus selepas mencium tangan dan memeluk suamiku. Tak tahulah kalau suami aku berkecil hati apabila melihat perlakuanku itu. He..He..“Abang ni bau busuklah, pergilah mandi cepat, umi tak tahanlah. Umi hairanlah abang, macam mana abang boleh tahan bau buah sawit ni?” usikku. Namun, dengan pantas suamiku cepat-cepat membalas “Isshhhh…kalau umi nak tahu, bau ni bau duit tau!” sambil mendekatkan lagi badannya kepadaku. “Ini belum lagi abang pergi kolam effluent”, sambung suamiku.
Bingung juga aku dibuatnya apabila setiap kali mahu membasuh pakaian suamiku. Minyak hitam yang melekat agak sukar hendak dihilangkan. Naik penat tangan pembantu-pembantuku selama ini iaitu Mak Ani, Kak Mud dan Kak Sam memberus. Namun, pengalaman bekerja bersama pembantu rumahku di Papua New Guinea yang bernama Helen mengubah perpepsiku. Aku lihat Helen dengan tenang dan senang sekali membasuh baju atau seluar suamiku. Naik hairan juga aku dibuatnya, namun aku diamkan saja. Aku fikir entah-entah minyak hitam kat kilang sawit di Papua New Guinea ini tak sedegil minyak hitam di kilang sawit di Malaysia. Rupa-rupanya Helen menggunakan petua merendam baju atau seluar tersebut dengan air asam jawa! Oh! Patutlah asam jawa di rumahku selalu kehabisan. Ha! Ha!
“Abang, umi ungatkan bila abang dah jadi pengurus, dah tak ada dah calitan minyak hitam dan bau busuk, tapi masih sama juga macam masa mula-mula abang jadi kadet dulu,” sindirku. Memang suamiku suka sangat masuk ke dalam kilang sawitnya. Rutinnya masih sama macam seperti dia bertugas sebagai kadet dulu. Kalau sehari tak masuk, boleh demamlah dibuatnya. Setiap kali bercuti panjang pula, confirm serba tak kena dibuatnya sebab fikiran suamiku masih pada kilang sawitnya. Aku ni dah jadi no 2. He..He.. “Umi rasa abang ni bukannya setakat suka kerja kat kilang sawit ni, tapi abang dah jatuh cinta dengan kilang sawit. Takpelah abang jangan risau, demi cinta abang ni, umi sanggup tahan bau duit ni,” sambungku lagi sambil tergelak mengakhiri bicara kami.
No comments:
Post a Comment