Aku sentiasa percaya bahawa setiap perkara yang berlaku di dalam hidup manusia ada hikmah di sebaliknya. Pengorbananku berhenti kerja pada tahun 2007 mempunyai hikmah yang cukup besar sebenarnya. Rupa-rupanya Allah mahu aku menggunakan ilmu serta kepakaran yang ada untuk berbakti dan menolong orang lain yang lebih memerlukan. Dari situ, aku seolah-olah mendapat sinar baru dalam kehidupanku sebagai surirumah. Aku mahu menjadi surirumah yang berilmu, berpelajaran serta berbakti kepada agama, bangsa dan negara. Azam, harapan dan cita-citaku kini adalah untuk membantu orang lain hidup dengan lebih baik dari sebelumnya.
Sememangnya sejak dari kecil lagi, aku telah dididik oleh mak dan abahku supaya selalu bersedekah dan menolong mereka yang lebih memerlukan. Membiasakan rutin baru sebagai suri rumah sepenuh masa membuatkan aku berasa agak bosan dan janggal kerana aku sudah biasa memegang status wanita bekerjaya. Justeru itu, aku mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri dengan keadaan dan masyarakat setempat. Sebagai langkah pertama, aku turun padang bergaul dengan isteri-isteri staf dan pekerja suamiku. Melihatkan keadaan mereka yang tinggal di kawasan kilang sawit ini agak jauh dari bandar, sukar mendapat kemudahan serta pendedahan terkini membuatkan aku terpanggil untuk memulakan program mengajar bahasa inggeris kepada anak-anak staf dan pekerja dengan mengenakan yuran 20 sen setiap kali mengajar. Aku tidak nafikan bahawa penguasaan bahasa inggeris mereka agak lemah.
Melihatkan penguasaan bahasa inggeris anak muridku semakin baik, aku memberanikan diri untuk memulakan program mengajar bahasa inggeris kepada golongan ibu pula dan aku mengenakan yuran yang sama sehingga aku digelar “Cikgu 20 sen” ke mana saja aku pergi. Ha! Ha! Aku berharap golongan ibu-ibu ini akan dapat mengajar anak-anak mereka di rumah pula. Kelas pertama ibu-ibu menyaksikan beberapa kenangan lucu. Bayangkanlah betapa berbelit-belit lidah ibu-ibu ini apabila mereka belajar menyebut beberapa perkataan inggeris. Sebagai contoh ada yang menyebut “congratulation” sebagai “contolation” malah ada yang menyebut “I” sebagai air. Memang kelas kami sentiasa riuh rendah dibuatnya. He..he..
Setiap hujung tahun, aku akan membawa anak-anak didikku termasuk golongan ibu ke Bandar bagi sesi makan dan bermain boling dengan hasil tabungan yuran 20 sen yang aku kutip sejak awal tahun. Kini, aku meneruskan azam, harapan dan cita-citaku dengan memberi pengajaran kepada anak-anak murid sekolah rendah yang masih tidak tahu membaca. Terima kasih kepada Guru Besar Helen Chai kerana telah memberi peluang kepada aku untuk terus berbakti mengajar secara sukarela di sekolahnya. Terima kasih juga kepada Cikgu Reezal yang banyak membantuku mengajar anak-anak murid tersebut. Aku berharap agar semua anak-anak didikku akan menjadi insan berguna dan mendapat pekerjaan yang lebih baik setelah dewasa kelak..,..Amin.. Tiba-tiba fikiranku melayang kepada sambutan meriah yang kuterima sepanjang aku menjadi “guru” bahasa inggeris. Ibubapa anak didikku ada yang datang membawa pulut kuning, buah-buahan serta lauk pauk. Antara ungkapan yang seringku dengar dari ibubapa yang datang berjumpaku adalah “Puan ajarlah anak saya dengan apa jua cara sekalipun, asalkan tak patah tangan dan kaki anak saya”. Besar juga “kuasa” yang diberikan oleh ibubapa anak didikku..He..He..
Selain program mengajar bahasa inggeris tersebut, suamiku juga mencadangkan agar aku mula membaca buku di masa lapangku. Aku akui dulu aku hanya membaca sebab hendak menduduki peperiksaan ataupun tuntutan kerja. Aku memang tabik habis pada suamiku yang suka membaca. Telah menjadi kebiasaan suamiku untuk membaca buku sebelum tidur malam. Jadi suamiku telah memaksa aku membaca dua buku sebulan walaupun sebelumnya alu tidak suka. Allah saja yang tahu bagaimana susahnya aku hendak menghabiskan walaupun satu muka surat.
Tetapi lama kelamaan, kini setelah menjadi kebiasaan, aku tidak boleh tidur tanpa membaca dua atau tiga muka surat setiap malam. Aku semacam sudah menjadi “ulat buku” kerana ke mana pun aku pergi, pasti aku tidak lupa membawa sebuah buku bersamaku untuk dibaca. Dek kerana menjadi “ulat buku” ini, timbul pula semangatku untuk menyebarkan ilmu yang ada di dada walaupun hanya seayat dua. Aku selalu mengadakan sesi berkongsi ilmu pelbagai topik dengan isteri-isteri staf dan pekerja suamiku kerana aku tahu keadaan mereka yang tinggal jauh dari bandar dan sukar mendapat kemudahan dan pendedahan terkini. Aku berharap mereka akan menjadi surirumah berilmu seperti diriku.
Perkongsian ilmu pertamaku adalah mengenai perancangan kewangan peribadi. Tidakku sangka, penyampaian ceramahku yang julung kalinya berjaya mengetuk hati isteri-isteri staf dan pekerja suamiku. Kami sepakat merealisasikan budaya menyimpan “sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit”. Melihatkan kejayaanku itu, aku berbincang dengan suamiku untuk memanjangkan lagi topik ceramahku. Ternyata ideaku mendapat sokongan daripada seluruh warga kilang sawit yang ingin menimba ilmu daripadaku.
Alhamdulillah topik ceramahku berkembang dari semasa ke semasa meliputi topik keluargaan atau “parenting” dan juga topik kecemerlangan pelajar. Allah itu maha mendengar, doaku untuk menyampaikan ilmu yang ada terus dimakbulkan olehnya. Kini ceramahku bukan sahaja dikongsi dengan warga kilang malah aku turut dijemput memberikan ceramah di kampung-kampung dan di sekolah-sekolah. Aku berasa sangat gembira kerana dapat berkongsi ilmu yang diperolehi. Sekurang-kurangnya dapat juga aku memanfaatkan masaku yang terluang ini.
Kalau Dato’ Fadzilah Kamsah dan Ustazah Siti Norbahyah merupakan penceramah tersohor di luar sana yang sangat aku minati dan sanjungi, biarlah aku pula menjadi “penceramah bidang terjun” di kilang sawit dan kampung-kampung. He…He…
Aku berterima kasih kepada suamiku yang telah menjadi sumber inspirasiku dan bertanggungjawab menjadikan aku seperti hari ini…Terima kasih abang! Aku ingin menjadi seperti kata pepatah “kalau campak ke darat boleh jadi gunung, kalau campak ke laut boleh jadi pulau……..
No comments:
Post a Comment