Monday, 26 March 2012

Lela "Lopes De Squera"


      
      Bekerja sebagai Pengurus Kilang Sawit sering menuntut suamiku sering berpindah randah dari satu kilang sawit ke satu kilang sawit yang lain. Dek kerana itulah, banyak kenangan dan pengalaman yang telah aku kutip. Mengimbas kembali, fikiranku melayang kepada Lela “Lopes De Squera”. “Puan, you are my angel,” kata seorang wanita muda bertongkat kepadaku sejurus selepas sesi perjumpaan pertama suai kenal Ahli Jawatankuasa Persatuan Wanita Kilang Sawitku. Memang aku perhatikan dari tadi lela begitu asyik mendengarku bercerita mengenai visi dan aktiviti-aktiviti yang bakal aku laksanakan. Aku inginkan Persatuan Wanita Kilang Sawitku memainkan peranan penting dalam menganjakkan paradigma warga kilang terutamanya peranan wanita sebagai pendidik kepada anak-anak mereka. Wanita muda yang sangat ayu itu memperkenalkan dirinya sebagai Lela. Sekilas pandang aku lihat lela ni macam Adibah Noor! Rupa-rupanya Lela bersama suaminya terlibat dalam satu kemalangan suatu ketika dulu yang membuatkan kakinya tidak seimbang. “Mujur Allah masih memanjangkan lagi usia kami berdua, puan”, jelas Lela.   
            Melihat riak mukaku yang masih tergamam dengan kata-katanya tadi, Lela menjelaskan bahawa dia begitu bersemangat dan tidak sabar-sabar mahu mengikuti semua aktiviti-aktiviti yang telah aku rancangkan terutamanya kelas belajar bahasa inggeris. Lela memberitahuku bahawa dia ingin berubah menjadi insan yang lebih baik dan berilmu seperti diriku. “Emm..macamlah bagus sangat aku ni”, bisik hatiku..
            Setiap kali aktiviti yang aku jalankan, pasti kelibat Lela akan muncul bersama-sama sahabat-sahabat lain seperti Kak Yati Seman, Kak Wati Kamal, Kak Nor I, Kak Ida Medan, Kak Ita Sani, Lina, Kak Izan Azlee, Kak Lin Razak, Kak Faezah dan lain-lain. Namun, kedatangan Lela yang berjalan terencot-encot dengan tongkatnya itulah yang membuatkan aku menjadi lebih bersemangat untuk berkongsi ilmu yang aku ada. Lela juga sangat tekun setiap kali aku mengadakan kelas bahasa inggeris. Malah kelas bahasa inggerisku bukan berhenti setakat di kelas saja malah Lela sering menghantarku mesej ringkas atau “sms” dalam bahasa inggeris untuk belajar bahasa inggeris dengan lebih banyak lagi supaya aku dapat memberikan komen dan memperbetulkan apa-apa perkataan yang tidak betul. Dari situ, lela dapat memperbaiki dan menguasai bahasa inggeris dengan lebih baik. Selain Lela, ramai juga sahabat-sahabat lain dari kilang sawit yang lain yang belajar bahasa inggeris denganku melalui sms ini. Antaranya Kak Imah Sahak dan Kak Efa.
            Sebagai membalas budiku Lela sering memberiku kuih. Di antara kuih-kuih yang diberi oleh lela, anak-anakku paling menyukai kuih lopes. Dek kerana kuih lopes itu jugalah, sehingga kini aku menggelarnya Lela “Lopes De Squera”. Perkenalan yang bermula dengan ringkas itu berpanjangan hingga ke hari ini menjadi sahabat baik dan Lela sentiasa bersamaku tidak kira susah mahupun senang.  Akuu bersyukur kini penguasaan bahasa inggeris Lela semakin baik malah boleh sedikit sebanyak boleh mengajar anaknya, Min serta anak-anak jiran yang lain belajar bahasa inggeris. Alhamdulillah, Min yang juga merupakan anak didikku, yang dahulunya seorang yang pendiam telah menunjukkan penguasaan bahasa inggeris yang sangat baik malah kini mendapat tempat yang baik di dalam peperiksaan serta sering kali mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.
Kini, apabila aku bersendirian, aku pasti akan merenung kembali sajak ciptaan Lela yang telah dihadiahkan kepadaku yang tersimpan rapi di dalam simpananku ini. Tatkala aku meninggalkan daerah kenangan itu, aku telah menjadikan sajak itu sebagai sumber inspirasiku..
Di sini, aku titipkan sajak istimewa ini buat tatapan semua…..
           
Temanku…
                                    Kau insan berhati mulia
                                    Sanggup berkorban apa sahaja
                                    Untuk Memajukan anak bangsa

Temanku…
                                    Terima kasih setinggi gunung
                                    Atas didikan dan bimbingan
                                    Akanku kenang segala jasamu
                                    Selagi hayat dikandung badan

Tuhanku…
                                    Terima kasih kerana telah
                                    Memperkenalkan aku dengan seorang
                                    Insan yang bernama
                                    “Siti Norkiah Bte Mohd Ishak”
                                    Akanku kenang segala epilog indah ini
                                    Di dalam diari hatiku…..


No comments:

Post a Comment