Sememangnya semenjak dari kecil lagi, aku memang takut dengan cacing apatah lagi ular. Tapi yang peliknya anak-anakku sangat sukakan binatang terutamanya ular dan buku-buku pilihan mereka pula kebanyakannya adalah buku binatang. Manakala, antara permainan binatang yang mereka kumpulkan termasuklah permainan ular plastik. Kadang-kadang aku sampai terjerit jerit terperanjat dibuatnya apabila terpijak ular mainan anakku kerana menyangkakan ada ular masuk ke dalam rumah. Yang paling aku kesian sekali adalah ibu mertuaku. Mana taknya, setiap kali datang bertandang ke rumah kami, pasti pucat lesi mukanya kerana selalu bertembung dengan ular mainan anak-anakku. Maafkanlah cucu-cucu mak ye…Ha! Ha!
Namun, peristiwa berhadapan dengan ular tedung masih kekal diingatanku hingga ke hari ini. Pada ketika itu, suamiku bertugas di sebuah kilang sawit di Kota Tinggi. Seperti biasa, setiap hari, aku dan anak-anakku bermain di luar rumah. Mak Ani, pembantu rumahku pula sedang sibuk membersihkan longkang rumahku. Penat bermain, aku berpesan pada Mak Ani untuk menjaga anak-anakku sebentar kerana aku ingin meminum seteguk air di dapur. Sedang aku menikmati air minumanku, tiba-tiba aku terdengar suara anak-anakku terlompat-lompat kegembiraan memanggil “Umi, Umi, cepat, ada ular”. “Best umi”, sambung anakku lagi.
Dengan segera, aku ke ruang tamu dan sebaik tiba, aku terlihat seekor ular tedung yang sangat besar dan sedang mengembangkan tengkuknya. Ular tedung itu berada betul betul berdekatan rumahku. Anakku pula masih berada di luar rumah terlompat-lompat kegembiraan. Melihatkan ular tedung tersebut, aku terus menjadi kaku. Aku cuba mengambil anak-anakku masuk ke dalam rumah namun kakiku berdiri diam tanpa bergerak ketika itu dek kerana panik dan terperanjat. Kalaulah ada yang melihat aku ketika itu, sudah tentu dia juga dapat melihat betapa pucat lesinya wajah aku ketika itu.
Pada masa yang sama, Mak Ani menjerit kepadaku, “Ti, tolong ambilkan garam sekarang!”. Aku pula membalas, “Mak Ani, macam mana saya nak gerak ni sebab kaki saya kaku”. Melihatkan aku panik, Mak Ani segera meluru ke dapur dan mendapatklan beberapa bungkus garam. Dengan mulut terkumat kamit membaca selawat, Mak Ani melemparkan garam tersebut sedikit demi sedikit ke arah ular tersebut. Melihat dari kejauhan, aku dapati badan ular tedung tersebut menjadi lemah longlai dan tengkuknya menguncup sebaik sahaja badannya terkena garam yang dilemparkan Mak Ani. Dengan izin Allah, kakiku yang kaku tadi sudah boleh bergerak dan dengan pantas, aku merangkul anak-anakku Haikal dan Haziq masuk ke dalam rumah.
Pertarungan melempar garam antara Mak Ani dan ular tedung tersebut berlanjutan agak lama sehinggalah ular tedung tersebut betul betul tidak bermaya dan pada ketika itulah Mak Ani memukul ular tedung tersebut dengan kayu sehingga mati. Rupa-rupanya Mak Ani memang sudah terkenal di kalangan penduduk kilang sawit suamiku sebagai penghalau ular. Menurut mereka, Mak Ani dengan mudah menghalau sebarang jenis ular tidak kiralah dimana ular tersebut berada samada di ruang tamu, di dalam tandas mahupun di dalam bilik tidur.
Ketika suamiku diarahkan bertugas di sebuah kilang sawit di Segamat pula, sekali lagi ada ular bertandang ke halaman rumahku. Nasib baik bukan ular tedung tapi ular yang menyinggah ke halaman rumahku kali ini ialah ular bersaiz kecil yang berwarna merah. Melihatkan ular tersebut, pembantuku Kak Mud bukan main terkejut lalu lari bersembunyi ke belakangku. He..he..Alhamdulillah, berkat tunjuk ajar dari Mak Ani dulu, aku telah berjaya menghalau ular tersebut dan aku tidak pasti berapa bungkus garam yang telah kuhabiskan untuk melemahkan sekaligus menghalau ular tersebut.
Semasa di Papua New Guinea pula, pembantuku Helen telah mengingatkan aku mengenai hal ular ini. Helen mengatakan bahawa selama tiga tahun dia berkerja dengan majikan sebelum suamiku, ular sangat kerap bertandang ke rumah yang kami diami sekarang. Bukan saja ular akan berlingkaran di lantai bawah rumah kami, malah ada juga yang melepak di atas tangga dan tidur di celah “sliding door”. Naik meremang juga bulu roma aku bila mendengar cerita Helen itu apatah lagi pada ketika itu, cahayamataku ketiga, Hafiz baru berumur lapan bulan dan sedang belajar merangkak. Namun dengan tenang aku berkongsi ceritaku kepada Helen. Setiap seminggu sekali, pasti aku dan Helen akan menabur garam pada sekeliling rumah kami dan alhamdulillah sepanjang dua tahun di sana, tiada seekor ular pun yang datang menyinggah ke rumah kami. Sehingga kini, setiap kali aku pergi membeli belah, garam kasar atau halus pasti akan berada di dalam senarai teratasku sekali. Ha! Ha! Aku sangat bersyukur dengan ilmu yang telah aku perolehi dari Mak Ani ini. Terima kasih Mak Ani!....
gud story..:-)
ReplyDeletetq lin.
ReplyDelete