Seingat akulah, kami sekeluarga telah berhadapan dengan dua kali banjir besar. Pengalaman banjir pertama kami adalah ketika suamiku bertugas di kilang sawit di sekitar Kota Tinggi pada tahun 2006 manakala yang kedua pula adalah pada tahun 2007 iaitu sewaktu suamiku bertugas di kilang sawit di sekitar Segamat. Pengalaman banjir besar pertama dimulai dengan hujan renyai-renyai selama beberapa hari. Cuaca yang sejuk tersebut telah membuatkan anakku Haikal tiba-tiba diserang asma. Sememangnya anak-anakku sudah lama tidak diserang asma. Suamiku bertanya padaku samada boleh ke anak kami bertahan sehingga awal pagi esok memandangkan hujan turun tak berhenti-henti dan jam telah menunjukkan pukul satu pagi. Suamiku takutkan jambatan besar untuk ke bandar telah pun ditelengami air. Menurut cerita dari orang-orang lama di sini, pernah beberapa kali air banjir di sini naik sehingga ke paras pelepah pokok kelapa sawit dan hubungan terputus sama sekali. Subhanallah!.
Aku melekapkan telingaku pada belakang badan anakku Haikal seperti yang di ajar oleh Dr. Ruzini, Pakar Kanak-Kanak di Hospital Pusrawi Kuala Lumpur, untuk mendengar sebarang “wheezing” dan ternyata aku mendengar seperti plastic yang direnyukkan. Dengan bertawakal sepenuhnya kepada Allah, kami anak beranak membuat keputusan untuk ke bandar bagi mendapatkan rawatan “nibuliser”. Sesampainya di jambatan besar, aku dapati air telahpun naik sehingga ke paras menutupi sedikit jambatan tersebut. “Ya Allah, mana mungkin jip suamiku lepas jambatan ni? bisik hatiku. Tidak dapat aku gambarkan perasaan kami anak beranak pada ketika itu. Melihatkan dada Haikal yang tengelam timbul tengelam timbul, suamiku nekad untuk meredahi jambatan yang telah dipenuhi air itu. Syukur alhamdulillah, kami berjaya melepasi jambatan tersebut dan terus mendapatkan rawatan yang sewajarnya untuk Haikal di poliklinik berdekatan. Doktor membekalkan kami dengan bekalan ubat yang secukupnya untuk Haikal. Kami membuat keputusan untuk menunggu sehingga esok pagi dan kebetulan hujan reda sedikit walaupun masih renyai-renyai. Namun, suamiku dimaklumkan bahawa jambatan yang kami lalui malam tadi sudah tidak boleh digunakan lagi kerana air telahpun menengelamkan seluruh jambatan tersebut.
Naik panik juga aku dibuatnya. Dahlah kami ke bandar dengan sehelai sepinggang! “Umi, relakslah, ada staf abang bagitahu kita boleh balik ikut jalan alternatif tapi jauh sikitlah,” terang suamiku. Alhamdulillah kami selamat kembali semula ke rumah kami di dalam estet menggunakan laluan alternative tersebut. Terima kasih Ya Allah! Namun, hujan renyai-renyai masih tidak berhenti turun beberapa hari sehinggalah kami diberitahu bukan sahaja jambatan tapi jalan alternatif juga tidak boleh digunakan kerana telahpun ditengelami air. Siaran TV pula menyiarkan bandar Kota Tinggi lumpuh. Mujur pihak UMNO menghulurkan bantuan makanan seperti minyak, biskut, roti, sardin serta makanan lain-lain dengan menggunakan bot.
Suamiku berpesan kepada seluruh warga kilang agar berjimat cermat dengan bekalan makanan yang ada. Oleh itu setiap hari semua kaum isteri akan turun padang bergotong royong ke surau berdekatan untuk memasak beramai-ramai serta mengagihkan bekalan makanan secara bijaksana agar mencukupi untuk seluruh warga kilang. Aku rasa dekat dua minggu juga kami berkurung di dalam kilang sawit tersebut.
Pengalaman banjir ketika di Kota Tinggi membuatkan kami lebih bersedia ketika banjir melanda Segamat. Aku dan suami berkesempatan membawa anak-anak kami melihat mangsa banjir di kawasan Kota Tinggi dan Segamat. Inilah kesempatan terbaik untuk menunjukkan kesusahan orang lain kepada anak-anakku. Kami dapat melihat terdapat rumah yang tengelam keseluruhannya dinaiki air dan ada penduduk yang terpaksa menaiki sampan untuk ke tempat perlindungan yang disediakan oleh kerajaan. Memikirkan kembali pengalaman-pengalaman kami menhadapi banjir besar di Kota Tinggi dan Segamat, aku dapat lihat hikmah banjir yang berlaku ini adalah untuk menjadikan aku sekeluarga agar menjadi lebih tabah menghadapi segala cabaran dan dugaan hidup di dalam estet manakala pula gotong royong semasa banjir pula membuatkan kami seluruh warga kilang menjadi lebih rapat dan memahami antara satu sama lain. Yang pasti, sehingga kini, kami perlu sentiasa bersiap sedia dengan bekalan makan seperti sardin, roti, biskut, susu dan lain-lain lagi yang lebih daripada biasa supaya mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan berlakunya banjir. Bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan…Namun, sekiranya kita telah berusaha untuk mengelak agar bencana banjir tidak menimpa kita tetapi bencana itu datang juga, maka itulah dinamakan “takdir’…..
me too..time nie mmg darurat semuanye..lin kena bertugas dibahagian operasi plak tue..puas kena maki hamun orang sbb mmg saj x dpt nk supply air due to pump house da tenggelam..hmmm..mmg mncabar..
ReplyDeleteish..ish...kesiannya kena maki hamun ngan org lain..memang kita kena kuat fizikal n mental bila kerja dlm line mcm lin tu...
ReplyDelete