Thursday, 20 June 2013

WOW!

ADA sesuatu yang menarik perhatianku sekembalinya kami sekeluarga ke Semenanjung, Malaysia. Kali ini, suamiku bertugas di sebuah kilang sawit di Sedenak pula sebagai pengurus kanan. Alhamdulillah, seperti kebiasaannya, perjumpaan dengan Persatuan Wanita Kilang Sawit menjadi agenda utamaku.
Ida Fazihan, isteri pengurus memberitahuku, “Kak, petang ni mesyuarat wanita kita akan diadakan di kandang pada pukul dua setengah petang, ya?”
Dengan kehairanan, aku bertanyakan sekali lagi untuk kepastian “Ida, kita meeting kat kandang? First time akak dengar pasal kandang ni”.
Ida dengan gelihatinya menjelaskan bahawa kandang itu adalah gelaran kepada pusat penjagaan kanak-kanak di estet.
 “Tapi sekarang kandang tu kita jadikan pusat sumber sekaligus tempat berkumpulnya perkumpulan wanita kita, kak,” sambung Ida lagi.  “Walaupun kita dah tukar dengan nama Pusat Sumber, tapi masyarakat di sini masih lagi memanggilnya kandang,” Ida langsung ketawa.
Iyalah, bagiku mungkin mereka semua sudah sinonim dengan gelaran kandang. Aku dimaklumkan oleh Kak Mas Sedenak bahawa setiap pusat penjagaan kanak-kanak di mana-mana estet digelar kandang.
Sesampainya aku di kandang, WOW! Itulah perkataan pertama yang terkeluar dari mulutku. Bukannya aku tidak biasa mempengerusikan mesyuarat Persatuan Wanitaku namun kali ini memang berbeza. Agaknya apa yang bezanya, ya? Seorang demi seorang ahli jawatankuasa (AJK) memperkenalkan diri masing-masing. Bermula dengan pengerusi, Kak Pah Sedenak. Kak Pah memaklumkan bahawa dia adalah isteri Hospital Assistance yang bekerja di estet. Begitu juga dengan naib pengerusi, Kak Mas Sedenak yang suaminya bekerja dengan estet. Setiausaha pula, Aina Mus yang merupakan penolong pengurus kilang suamiku. Walaupun terkejut, namun aku diamkan sahaja dan membiarkan seorang demi seorang AJK  habis memperkenalkan diri mereka. Apa yang dapat aku rangkumkan ketika itu adalah, AJK-AJKku kali ini terdiri daripada orang-orang estet dan juga kilang. Gabungan lima estet dan kilang sawit suamiku kini dipanggil KOMPLEKS. Hmm... menarik, bukan? Jadi, memang patutlah tadi aku terkeluar perkataan WOW!
  Sejurus selepas semuanya memperkenalkan diri, Kak Pah meneruskan mesyuarat dengan memaklumkan kepadaku status terkini mengenai aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan. Antaranya adalah aktiviti meminjamkan buku kepada warga kilang dan estet Sedenak, kelas memasak, sukaneka, kelas bina insan, gotong-royong, tadarus, marhaban dan sebagainya.
Kak Pah memulakan laporannya dengan memberitahu, “Tahun lepas, puan, Perkumpulan Wanita kita telah memenangi Anugerah WOW Terbaik kerana kumpulan kita sangat aktif  dan banyak melaksanakan aktiviti.”
Sekali lagi aku terkeluar perkataan WOW! Pada masa ni, hanya Allah SWT sahaja yang tahu betapa aku ini nampak seolah-olah katak yang baru keluar dari tempurungnya. Huhuhu. Aku meminta Kak Pah menerangkan apa yang dimaksudkan dengan WOW tersebut. Rupa-rupanya, ianya merupakan singkatan kepada perkataan Woman Onwards yang ditubuhkan oleh syarikat suamiku bertujuan untuk menggalakkan lebih banyak penyertaan kaum wanita sama ada di dalam bidang kerjaya atau keusahawanan. Selain itu, dengan tertubuhnya persatuan tersebut, kaum wanita lebih mudah untuk menyalurkan sebarang ketidakpuashatian terhadap sesuatu perkara kepada pihak atasan syarikat.
Karnival WOW pertama yang aku hadiri adalah semasa acara pertandingan sukan antara kompleks-kompleks di bawah syarikat suamiku dijalankan. Di sinilah aku dapat melihat peranan WOW. Aku lihat pelbagai gerai menjual barangan mereka sendiri seperti hiasan manik, kerepek, nasi ayam, roti, kek, makanan sejuk beku serta sayuran-sayuran dan ulam-ulaman yang ditanam sendiri. Riuh-rendah betul dibuatnya pada ketika itu dek kerana kompleks masing-masing sibuk mempromosi barangan mereka bagi memikat hati pengunjung yang datang.
Kompleksku menjual nasi ayam manakala gerai mentorku, Kak Siti Che Din, menjual cup cake. Sahabatku, Lela Lopes De Squera dan Kak Yati Seman, juga tidak melepaskan peluang untuk menambahkan pendapatan dengan menjual roti buatan mereka sendiri. Sesekali kedengaran “nasi ayam, nasi ayam”, diikuti pula “roti, roti” , “air, air” dan sebagainya. Memang meriah sehinggakan aku serta anak-anak rambang mata hendak memilih barangan yang hendak dibeli.
Nak dijadikan cerita, aku dan anak-anakku tidak berhenti-henti mengunyah hingga aku merasakan perutku seperti rojak. Masakan tidak, nasi ayam, laksa, roti, ayam goreng, keropok lekor, kerepek dan pelbagai air telah aku dan anak-anakku belasah. Anak kecilku, Hafiz, sahaja telah memakan habis empat biji cupcake yang dibuat oleh Kak Siti Che Din! Huhuhu.




Isteri pengarah suamiku, Kak Pah, turut memberi sokongan dengan membeli nasi ayam kompleksku. Terima kasih, Kak Pah!






Mari-mari beli! Ada manik, ada ayam goreng, ada dodol. Mari-mari!

Selain karnival, terdapat banyak lagi aktiviti yang dijalankan oleh WOW seperti mengadakan bengkel masakan tradisional serta western, bengkel roti dan pastri, jahitan tudung dan manik. Di samping itu juga, pertandingan gubahan kraf tangan dan pertandingan masakan seringkali dianjurkan oleh WOW yang mana ianya turut melibatkan kesemua kompleks. Setiap kompleks wajib menghantar wakil dan pada ketika ini, kebetulan kompeks suamiku baru sahaja selesai membuat pertandingan menggubah sirih junjung, menghias kek pengantin, perlawanan congkak dan bowling padang. Pemenang bagi setiap kategori akan seterusnya berlawan di ibu pejabat syarikat suamiku. Dengan aktiviti-aktiviti yang dianjurkan oleh WOW, ianya dapat merapatkan silaturrahim sesama ahli di samping dapat memberi pendedahan kepada mereka bagaimana untuk menjana pendapatan sendiri.






Peserta-peserta dari kompleksku sedang khusyuk menghias kek pengantin mereka.


Akhir kata, aku ucapkan tahniah dan WOW! kepada usaha syarikat suamiku. Semoga ianya akan menjadi tonggak kepada pembangunan wanita di Malaysia sekaligus menyahut seruan kerajaan dalam memartabatkan peranan wanita di dalam bidang keusahawanan. Bukan sahaja Malaysia Boleh! tetapi Wanita Boleh! Amin.

No comments:

Post a Comment