Sunday, 23 June 2013

BFF

Terkejut dan terharu rasanya apabila aku membaca nukilan dari sahabatku Lela Lopes De Squera..Happy reading!

AKU mempunyai ramai teman yang bernama Siti. Sungguh, ramai! Apa yang pasti, kecuali Siti Nurhaliza. Huhuhu. Apa yang istimewanya, dalam banyak-banyak ‘Siti’ ini, hanya ada seorang ‘Siti’ yang melekat di hatiku sehingga kini.
            Siti Norkiah Mohd Ishak.
Susuk pemilik nama ini telah membawa banyak titik perubahan di dalam hidupku. Perkenalanku dengannya bermula pada tanggal Januari 2007. Bermula dari detik itulah hubungan kami terjalin mesra sehinggalah ke hari ini. Kehadirannya di dalam hidupku telah membawa seribu makna yang amat terkesan di dasar hatiku sehingga kini. Aku yang dahulunya seperti katak di bawah tempurung, seakan telah tersedar dari sebuah lena yang penjang. Mindaku dan juga teman-temanku yang lain di kilang sawit Palong Cocoa, Segamat ini terasa bagai dianjak paradigmanya.
Pada setiap dua kali dalam seminggu, dia akan mengadakan kelas bahasa Inggeris bagi kanak-kanak dan juga golongan dewasa. Bayangkan, bayaran yang dikenakan hanyalah 20 sen pada setiap sesi. Akulah orang yang paling teruja. Tidak pernah sekalipun aku gagal menghadirkan diri ke kelas. Lucu. Kelas yang dihadiri oleh ibu-ibu yang sudah lama meninggalkan bangku sekolah ini terasa sungguh kelakar. Bayangkan dengan gelagat mereka yang membawa anak-anak kecil, sambil membawa buku dan pensil. Setelah bertahun meninggalkan bangku sekolah dan sekarang kembali belajar untuk ‘speaking’, maka berteraburlah kami bercakap seperti ayam dan itik. Kecoh!
Alhamdulillah, berkat dari ketekunan aku dan teman-teman, ramai di antara kami berjaya mengingati semula ilmu yang dibelajar sewaktu bersekolah dahulu. Banyak lagi aktiviti-aktiviti baru yang telah dibawanya ke dalam kehidupanku seperti kelas aerobik dan kelas motivasi. Antara yang inti pati terpenting yang disampaikannya adalah bagaimana mendidik anak-anak supaya cemerlang, bagaimana menabung dan prinsip mengamalkannya serta sikap positif di dalam kehidupan. Itulah yang sering diingatkan kepadaku.
Sehingga kini, apa yang sangat membanggakanku adalah sikapnya yang langsung tidak kedekut ilmu. Apa sahaja yang dia rasa dan ketahui, pasti akan dikongsikan bersamaku dan teman-teman. Dia selalu menghulurkan bantuan di saat aku hampir jatuh. Aku pula sentiasa menyambutnya agar kami sama-sama berjalan seiring. Pada setiap kali musim perayaan Idulfitri, dia serta suami dan anak-anaknya akan datang menziarahi rumah para pekerja. Aku amat terharu sebenarnya kerana dia langsung tidak memandang darjat walaupun antara kami semua seperti langit dan bumi. Mereka suami isteri berkelulusan sarjana luar negara dan suaminya pula merupakan pengurus di tempat kediamanku.
Salah satu antara sikapnya yang paling manis dan memikat hatiku, dia dan anak-anaknya akan bersalaman dengan semua orang jika menghadiri sesuatu majlis. Habis satu dewan akan disalaminya beserta ciuman di pipi kiri dan kanan. Pada mulanya aku dan teman-teman terasa agak kekok dengan fenomena baru itu kerana bukannya senang nak mendapatkan ciuman dari isteri seorang pengurus. Huhuhu! Namun, lama-kelamaan perkara itu sudah menjadi kebiasaan bagi kami semua.
Sayangnya, segala yang manis itu semua telah menjadi kenangan yang terindah dalam hidupku. Hanya setahun kami sempat bertemu dan mesra bersama. Kini, dia telah berpindah ke kilang sawit yang lain kerana mengikut suaminya yang bekerja merata-rata tempat di negeri Johor. Biarpun begitu, aku amat bersyukur kerana dalam masa setahun, dia telah banyak meninggalkan kepadaku ilmu-ilmu yang sangat berguna untuk aku manfaatkan di dalam kehidupan seharianku.
Walaupun kini, kami berpisah jauh, namun kami masih berhubungan antara satu sama lain. Dia juga tidak jemu-jemu untuk memberikan kata-kata semangat dan perangsang kepadaku di saat aku memerlukan. Dialah sahabatku dulu, kini dan selamanya.
Hanya satu tiada dua, dialah Siti Norkiah Mohd Ishak… ‘my bff, bestfriend forever’ dan sajak ini aku hadiahkan khas untuknya.

           
Temanku…  
            Kau insan berhati mulia
Sanggup berkorban apa sahaja
Untuk memajukan anak bangsa
Temanku…
Terima kasih setinggi gunung
Atas didikan dan bimbingan
Akanku kenang segala jasamu
Selagi hayat dikandung badan
Tuhanku…
Terima kasih kerana telah
Memperkenalkan aku dengan seorang
Insan yang bernama
Siti Norkiah Bte Mohd Ishak
Akanku kenang segala epilog indah ini
Di dalam diari hatiku…. 

No comments:

Post a Comment