Saturday, 22 June 2013

AKU DITAKDIRKAN MILIKMU...

BERMULANYA ceritera seorang aku dari usia remaja sehingga kini. Hayatilah kisahku ini....

“Ya, Allah… aku sudah lambat ke kelas tuisyen!” jerit hatiku. Jam di tangan sudah menunjukkan pukul sembilan pagi. Sesampainya aku di kelas tuisyen, aku terus bergegas mencari tempat duduk. Kebetulan rakan-rakanku, Diana dan Julie, telahpun menyediakan tempat untukku bersebelahan dengan tempat duduk mereka.
“Alia, kau pandang sebelah kanan kau. Itu Anuar ” sapa Diana padaku yang masih teraba-raba mencari cermin mataku di dalam beg.
Sebaik saja aku mendapat cermin mataku, aku terus memakainya dan memandang ke sebelah kanan. Entah mengapa, hatiku bagaikan tersentap sebaik sahaja memandang Anuar. Walau begitu, aku membiarkan sahaja perasaan itu berlalu. Aku dan rakan-rakanku menumpukan sepenuh perhatian kepada Cikgu Ramli yang sedang mengajar Kimia di hadapan kelas .
Semasa waktu rehat, Julie dan Diana bertanyakan padaku bagaimana pandanganku terhadap Anuar.  Aku mengatakan bahawa Anuar semakin putih dan agak kacak bila sudah besar. Sememangnya aku, Diana, Julie dan Anuar  adalah rakan sebaya dan kami mengaji di tempat yang sama semenjak kami kecil lagi. Tidak lama kemudian, Anuar melabuhkan punggungnya pula untuk duduk bersama-sama kami. Anuar bertanyakan khabarku dan aku menjawab dengan nada yang selamba. Anuar mempelawa aku untuk menumpang kereta ibunya untuk ke kelas tuisyen. Pada mulanya aku agak keberatan tetapi memandangkan Diana dan Julie turut menumpang Anuar, maka aku pun bersetuju.
Pada keesokan harinya, seperti biasa aku sebagai kakak yang sulung  kepada lima beradik akan membasuh dan menyidai baju di ampaian. Mak dan abah seawal pagi lagi telah keluar bekerja. Mak merupakan seorang guru manakala abah pula merupakan seorang anggota polis trafik. Sebagai anak, aku sangat berbangga serta kagum dengan ketabahan mak dan abah dalam membesarkan kami enam beradik. Pengorbanan dan titik peluh mak dan abah inilah yang menjadi azam pendorong buat aku belajar dengan bersungguh-sungguh. Aku mahu lulus dengan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) kali ini. Alhamdulillah, semasa peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran (SRP) dahulu, aku telah menjaya mendapat 8A1. Kecermelangan ini aku hadiahkan buat mak dan abah tersayang. Insya-Allah, kali ini aku mahu mengulangi kejayaan yang sama.
Aku berjalan pantas untuk memastikan aku sampai ke rumah Anuar tepat pada waktunya. Alangkah terkejutnya aku apabila mendapati kereta ibu Anuar sedang menuju ke arahku. Anuar yang duduk di tempat duduk di hadapan sedang tersenyum manis ke arahku.
“Nak perli aku lambatlah tu,” terluah kata-kata itu dari bibirku, perlahan. Entah kenapa aku membalas senyuman Anuar kembali.

*          *          *

Setiap kali waktu rehat, aku, Diana, Julie dan Anuar akan duduk bersama. Anuar banyak bercakap tentang hal-hal berkaitan agama. Maklumlah, dia belajar di Kolej Islam Klang. Aku pula belajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping dan tidak memakai tudung pula tu. Aku buat tidak tahu sahaja setiap kali Anuar bercerita mengenai hal-hal agama.
Sedar tak sedar, cuti sekolah hanya tinggal tiga hari lagi. Pada hari terakhir di kelas tuisyen, Anuar memberikan aku sepucuk surat. Terkejut badak aku dibuatnya. Balik ke rumah, aku menunjukkan isi kandungan surat yang ditulis oleh Anuar kepada mak. Isi kandungan surat tersebut sangat ringkas. Namun cukup untuk membuatkan aku diusik rasa. Anuar menerangkan kepadaku bahawa hatinya bergetar setiap kali bercakap denganku tetapi tidak dengan perempuan lain. Berdasarkan firasatku, aku dapat merasakan yang Anuar menyukaiku. Entah kenapa, aku cuma menganggap itu adalah gurauan daripada Anuar. Di mana logiknya seorang budak sekolah agama akan menyukai gadis sosial yang tidak bertudung sepertiku ini?
“Mak, akak rasa akak tak sesuai dengan budak sekolah agamalah. Akak tak payah layanlah budak Anuar ni, ye mak?” Begitu kataku kepada mak. Aku terus mencampakkan surat itu ke dalam tong sampah.
Setelah membuang surat Anuar ke dalam tong sampah, aku terus mengemas barang-barang yang hendak dibawa pulang ke asrama. Malam itu juga aku tidur awal memandangkan esok aku perlu menaiki bas ekspres untuk pulang ke MRSM Taiping. Perjalanan yang mengambil masa hampir empat jam itu membuatkan fikiranku melayang-layang kepada isi kandungan surat Anuar. Namun, cepat-cepat aku menepis fikiranku. Sememangnya ramai jejaka yang ingin menambat hatiku di MRSM Taiping. Di antara yang ramai itu, ada seorang jejaka bernama Ihsan telah berjaya menambat hatiku. Biarpun begitu, hubungan kami hanya dapat bertahan selama dua tahun sahaja.

*          *          *

Setelah tamat peperiksaan SPM, atas dorongan mak dan abah, aku mengambil keputusan untuk belajar komputer bagi mengisi masa lapangku. Sekali lagi, hatiku telah disunting oleh seorang jejaka bernama Amir. Pada satu hari, Anuar menelefonku. Perasaanku pada ketika itu terkejut bercampur gembira. Aku bertanyakan kepada Anuar dari mana dia mendapatkan nombor telefonku. Anuar memberitahuku, dia dapat nombor telefonku melalui buku panduan telefon TELEKOM. Anuar mencuba satu persatu nombor telefon dengan nama Mohd Izhar.  Mohd Izhar adalah nama abahku. Terharu juga aku dibuatnya. Kami bercakap mengenai perancangan kami setelah mendapat keputusan SPM nanti. Anuar memberitahuku dia amat meminati Kejuruteraan Kimia manakala aku pula meminati Perakaunan. Oleh itu, kami berdua memasang cita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke luar negara. Setiap hari Anuar akan menelefonku, bertanyakan apa yang sedang aku buat dan sebagainya. Kemesraan di antara kami semakin bertaut kembali seperti zaman kami kecil dahulu. Namun, aku mengangap Anuar hanyalah sebagai rakan biasa kerana pada ketika itu Anuar sendiri telah mengetahui hubunganku dengan Amir.
Pada satu hari, Anuar menelefonku dan mengatakan bahawa dia telah mendapat tawaran daripada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk melanjutkan pelajaran ke Amerika Syarikat dalam bidang Kejuruteraan Kimia. Anuar mendapat 12 agregat dalam peperiksaan SPMnya manakala aku pula mendapat 9 agregat. Aku mengucapkan tahniah dan berdoa semoga dia maju jaya. Setelah Anuar melanjutkan pelajaran ke AS, aku pula mendapat tawaran melanjutkan pelajaran ke United Kingdom dalam bidang Perakaunan. Sebelum ke sana, aku harus menduduki peperiksaan A-Level selama dua tahun di Malaysia terlebih dulu sebagai syarat sebelum ke UK.
Selama dua tahun itu, Anuar masih menghubungiku. Anuar akan menghubungiku pada setiap hujung minggu. Hal ini menyebabkan aku berasa serba salah dibuatnya kerana aku menganggap Anuar hanyalah sebagai rakan biasa sahaja. Mak dan abah juga risau. Mana tidaknya, bukan murah bil telefon dari AS ke Malaysia. Mereka risau kalau aku kelihatan seperti mempermainkan perasaan Anuar kepadaku. Setelah berfikir untuk seketika, aku mengambil keputusan untuk menegur Anuar. Apabila Anuar menelefonku pada hujung minggu itu, aku memberanikan diri untuk memberitahunya mengenai isu bil telefon tersebut.
“Anuar, awak telefon sebulan sekali cukuplah. Saya tak nak bil awak melambung nanti sebab saya,” pintaku pada Anuar. Namun, Anuar tetap mahu menghubungiku atas dasar persahabatan yang telah sedia terjalin. Aku pula tidak mampu untuk menolak kata-katanya.
Dengan ketentuan Allah SWT, hubungan percintaanku dengan Amir terputus di tengah jalan. Anuar yang mengetahui tentang perkara tersebut, tanpa bertangguh terus meluahkan perasaannya sekali lagi. Anuar menceritakan kepadaku bahawa dia ingin ‘mengikatku’. Katanya, hatinya telah lama terpaut padaku ketika kami tuisyen bersama-sama lagi. Surat yang diberikan kepadaku semasa hari terakhir kelas tuisyen itu adalah bukti luahan isi hatinya kepadaku. Anuar juga menyatakan bahawa dia telah membuat Solat Istikharah selama tujuh hari berturut-turut bagi meminta petunjuk dari Allah SWT. Dia sendiri juga mempunyai ramai peminat. Sebelum membuat keputusan, dia mahu meminta restu Allah SWT.
“Alia, saya hanya dapat melihat wajah awak saja selama tujuh hari tersebut,” kata Anuar kepadaku. “Saya yakin bahawa awaklah jodoh buat saya” sambung Anuar lagi.
Dengan air mata yang mengalir berterusan di pipiku aku menjawab, “Anuar, saya tak  rasa yang saya layak buat awak... saya tak boleh menerima awak...”
 Tanpa kusangka, Anuar menangis menyatakan kesedihannya kerana dia merasakan dia boleh menerima aku seadanya, sedangkan aku sendiri tidak yakin dengan diriku. Biarpun begitu dia tetap yakin bahawa aku jodohnya kerana dia telah mendapat petunjuk daripada Allah SWT.
Setelah perbualan telefon tersebut, aku merasakan Anuar mungkin tidak akan menelefonku lagi. Namun, sangkaanku meleset. Anuar tetap menelefon untuk bertanyakan khabar dan juga mengenai hal pelajaran A-Levelku. Kami tidak berbicara langsung mengenai hal  jodoh.  Selain menelefonku, Anuar juga kerap menulis surat kepadaku. Apa yang aku tidak boleh dilupakan adalah kemestian Anuar untuk menulis sepotong ayat al-Quran atau sabda Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh para sahabat di dalam setiap surat yang dikirimkan kepadaku. Biarpun begitu, aku masih lagi belum terbuka hati untuk bertudung.
Takdir Allah SWT mengatasi segala-galanya. Pada satu hari, aku telah menerima hadiah sebuah buku daripada Anuar yang bertajuk ‘Wanita Muslimah Sejati’. Pada mulanya aku agak skeptikal untuk membaca buku bercorak agama.
“Buku apalah yang dia bagi kat aku ni, mesti tak menarik!” Begitu rungutku. Aku biarkan saja buku itu di atas meja belajarku.
Setiap kali Anuar bertanya padaku sama ada aku telah membaca buku tersebut, aku dengan selamba mengatakan aku belum berminat membacanya lagi. Namun, dengan ketentuan dari Allah SWT, terbuka hatiku untuk membaca buku tersebut.
“Ya Allah, jahilnya aku, Ya Allah! Terlalu banyaknya dosaku padamu, Ya Allah!” Air mataku tidak berhenti-henti mengalir semasa membaca buku tersebut. Dengan kuasa Allah SWT  juga, aku mendapat mimpi yang sangat aneh  pada malam yang sama. Aku bermimipi rambutku terbakar dan aku berada di dalam gua keseorangan. Pada keesokan harinya aku menceritakan mimpi aku kepada mak. Pada saat itu, aku tahu bahawa sudah tiba masanya untuk aku bertudung.
Rakan-rakan yang lain merasa terkejut melihatkan perubahanku bertudung. Ada yang berhenti apabila bertembung denganku, ada yang mengangkat tangan mengucapkan kesyukuran kepada Allah SWT, malah ada juga yang mengirim surat kepadaku untuk menjadikan aku sebagai teman mereka. Namun, Anuar seorang sahaja yang masih belum tahu kerana aku mahu memberikan kejutan kepadanya. Hujung minggu itu seperti biasa, aku menanti panggillan Anuar dari AS dengan penuh sabar.
“Alhamdulillah, Anuar. Saya sudahpun memakai tudung,” kataku kepada Anuar. 
“Syukur, alhamdulillah. Allah telahpun memakbulkan doa saya dari hari pertama saya terpikat kepada awak,” balas Anuar.
“Apa maksud awak, Anuar?” tanyaku.
Alangkah terkejut dan terharunya aku apabila mengetahui yang rupa-rupanya Anuar selalu membuat sembahyang hajat agar Allah SWT membukakan hatiku untuk memakai tudung dan menerimanya sebagai teman. Namun, kami masih lagi berkawan baik walaupun aku tahu Anuar masih menaruh hati padaku.
Di akhir tahun pengajian A-Levelku dan sebelum aku berangkat ke UK, aku telah membuat keputusan untuk menerima Anuar sebagai temanku. Anuar menangis kegembiraan di saat aku memberitahunya akan perkara itu. Terus terang aku katakan bahawa aku terharu dengan kesungguhan dan kesabaran Anuar dalam memikat aku. Di akhir perbualan kami, aku menyatakan kepadanya;
“Anuar, awak mungkin bukan yang pertama dalam hidup saya tapi awak adalah yang terakhir buat saya. Saya adalah gadis bertuah di dunia ini kerana saya adalah yang pertama dan terakhir bagi awak.”
Alhamdulillah, percintaan jarak jauh antara kami berdua iaitu AS dan UK tidak menjadi halangan buat kami, malah menguatkan lagi hubungan kami. ‘Sememangnya aku ditakdirkan milikmu,’ bisik hatiku pada hari pernikahan kami berdua. Alhamdulillah, kami terus bahagia melayari kehidupan dengan dikurniakan tiga orang putera.

Terima kasih, Allah SWT.

No comments:

Post a Comment