Tawaran
kepada suamiku untuk bekerja di Bintulu, Sarawak membawa aku kepada perkenalan
dengan Mentin. Pada pertemuan pertama, aku menggagak umur Mentin dalam sekitar
40 an. Aku menghulurkan salam perkenalan dan bertanya lanjut mengenai Mentin.
“Mentin berasal dari mana ye?” soalku. “Saya berasal dari Bintulu, puan,” balas
Mentin. Aku meneruskan soalanku, “Bagaimana dengan suami Mentin?” Dengan nada
suara yang perlahan, Mentin memulakan bicara, “Puan, suami saya sudah meninggal
pada tahun 2003 kerana kemalangan di Papua New Guinea. Saya hanya tinggal empat
beranak saja,” sambil air matanya mengalir perlahan.
“Ya Allah! Adakah ini satu
kebetulan?” bisik hatiku. “Mentin, saya bersimpati dengan kematian suami
Mentin. Kebetulan Mentin, saya baru balik dari Papua New Guinea. Mungkin ini
adalah takdir tuhan yang ingin mempertemukan kita,” balasku lagi. Mentin
tinggal denganku dan hanya balik ke rumahnya pada hari minggu. Sepanjang
tinggal bersamaku, aku perhatikan Mentin tidak pernah sakit dan kuat bekerja.
Berbanding dengan diriku yang mudah menghidapi selsema. Rupa-rupanya Mentin
sangat suka makan sayur. Setiap kali waktu makan, pasti sayur yang menjadi
hidangan utama Mentin. Aku pula, sayur bukanlah menjadi hidangan utama setiap
kali waktu makan. Kalau ada, adalah, kalau tak ada pun takpe. Sayur pahit
jangan cakaplah. Memang tidak termasuk dalam “list” aku. He..he…
Namun, semua itu berubah sejak
kedatangan Mentin ke rumahku. Aku sekeluarga telah mula makan pelbagai jenis
sayur-sayuran. Walaupun tak banyak anak-anakku makan sayur yang terhidang tapi
aku bersyukur mereka tetap mengambil juadah sayur-sayuran tersebut. Antaranya
ialah terung iban, cangkuk manis, daun sabung, ulam raja, pucuk pegaga, petola
air, labu, kacang botol, terung, petai dan sebagainya. Sebelum ini,
sayur-sayuran tersebut terlalu asing pada kami tetapi kini, ia telah menjadi
sebahagian dari kehidupan kami. Aku dapat merasakan perubahan kepada diriku.
Aku dapat merasakan kesihatan tubuhku dan anak-anak semakin baik berkat amalan
memakan sayur-sayuran setiap hari. Ada juga antara kenalan-kenalanku yang
mengatakan mukaku kini nampak licin dan berseri-seri. Ha! Ha! Syukur
Alhamdulillah.
Kini, aku bukan saja memastikan
terdapat sayur pada setiap kali hidangan, malah aku telah mula
menjinak-jinakkan diri dengan bercucuk tanam pelbagai jenis sayuran seperti
ulam raja, pegaga, daun bawang, “parsley”, “thyme”, “peppermint” dan lain-lain
lagi di sekitar kawasan rumahku. Mentinlah yang mengajarku cara-cara yang betul
untuk menanam sayur. Rupa-rupanya, sangkaanku terhadap umur Mentin meleset sama
sekali kerana Mentin sebenarnyta sudah berumur 52 tahun. Memang tidak percaya
kerana kedutan pada muka Mentin sedikit pun aku tak Nampak.
Aku juga bersyukur kepada
Allah kerana dikurniakan dengan seorang jiran baru yang sangat baik, Jacynta
namanya. Sekali lagi aku terpesona dengan kecantikan rupa Jacynta kerana
mukanya sangat licin dan nampak muda. Kalau nak tahu, umur Jacynta muda setahun
dari Mentin. Tanpa segan silu aku bertanyakan rahsia awet muda Jacynta. “Saya
banyak makan sayur Siti, terang Jacynta. Semua sayur saya tanam sendiri dan
saya buat baja organik sendiri. Jadi lebih sihat ma!”, sambung Jacynta lagi.
Memang aku perhatikan halaman belakang rumah Jacynta dipenuhi dengan pelbagai
jenis sayur-sayuran. “Ermm…baja organik! Menarik ni”, fikirku..Kini, aku dan
anak-anak membantu Jacynta membuat baja organik sendiri. Sisa bahan mentah dan
makanan seperti kulit bawang, kulit ayam, lebihan nasi, kulit buah-buahan kami
asingkan ke dalam satu bekas manakala Jacynta pula akan memasukkan bahan
buangan ini ke dalam lubang yang telah dikorek serta akan menutupnya dengan
tanah. Menurut Jacynta, tanah yang digunakan untuk menutup bahan-bahan buangan
tersebut perlulah agak banyak sedikit untuk mengelakkan binatang-binatang
terutamanya lalat dari terhidu dan singgah ke tempat baja organik tersebut.
Bahan-bahan buangan untuk keesokan hari akan dikambus ke dalam lubang yang lain
pula dan begitulah seterusnya. Akhirnya baja organik akan terhasil selepas tiga
bulan adunan tadi ditanam. Senang dan selamatkan!
Ini menambahkan lagi
semangatku untuk terus menjadikan amalan memakan sayur-sayuran dan membuat baja organik ini berkekalan
selagi hayat dikandung badan. Terima kasih daun keladi ku ucapkan kepada Mentin
“Si Ratu Ulam” dan Jacynta jiran
organikku…
No comments:
Post a Comment