Memang
sudah menjadi kelaziman, setiap kali menjelang raya tidak kiralah Hari Raya
Cina, Hari Raya Deepavali, Hari Gawai mahupun Hari Raya Aidilfitri, aku dan
suami akan memulakan operasi ketuk-ketuk raya kami. Bukan Ketuk Ketuk Ramadhan Sheila Rusly tu ye.....Aku dan suami sentiasa berpegang
kepada pepatah “Never forget to remember your roots”. Oleh yang demikian, aku
dan suami sentiasa berusaha merapatkan jurang di antara pekerja dan majikan.
Alhamdulillah jurang tersebut dapat dirapatkan melalui aktiviti-aktiviti yang
kami lakukan seperti hari keluarga, hari sukan, majlis yassin, tiusyen ibu-ibu dan anak-anak, wayang pacak, barbeku
dan termasuklah ketuk ketuk raya ini.
Aku masih ingat lagi tahun pertama
semasa kami mula-mula membuat operasi ketuk-ketuk raya ini dalah ketika kami mengetuk
pintu rumah pembantu rumah kami yang berbangsa India sempena Hari Raya
Deepavali. Beliau begitu terkejut apabila melihat aku dan suami tiba-tiba
terpacul di hadapan rumahnya. Masih terngiang-ngiang di telingaku akan jeritan
Kak Puswari dek kerana terperanjat. “Ayoyo ayoyo, tuan dan puan datanglah ni
jerit Kak Puswari kepada keluarganya. Jelas terbayang sinar kegembiraan di
matanya kerana kesudianku dan suami masuk ke rumahnya yang tak seberapa itu. Air mata Kak Puswari bergenang-genang apabila kami mahu pulang...
Walaubagaimanapun apabila tiba Hari Raya Aidilfitri, aku dan suami tidak dapat membuat lawatan mengejut kerana
jumlah staf dan pekerja yang berbangsa Melayu agak ramai. Jadi, aku pun membuat
jadual harian sepanjang Syawal. Dek kerana ghairah sangat untuk beraya, malam
pertama aku bubuh 10 rumah untuk aku, suami dan anak-anak ketuk. Lawatan yang
sepatutnya bermula pukul 8 malam dan berakhir pukul 10 malam berakhir pada
pukul 1 pagi! Mana taknya, kesemua rumah yang kami lawati telah menyajikan kami
dengan makanan berat-berat seperti nasi beriani, nasi hujan panas, nasi kerabu,
ketupat, rending dan macam-macam lagi. Hampir nak pecah perut kami dibuatnya.
Alhamdulillah! Bersyukur kami dengan rezeki yang dihidangkan Keesokan harinya
pula, aku segera menukar kembali jadual kepada 5 buah rumah saja untuk
dilawati. Suamiku berpesan kepada semua warga kilang bahawa kedatangan kami
hanya untuk beramah mesra bagi mengenali mereka sekeluarga dengan lebih rapat.
Namun, hampir setiap malam, kami dijamu dengan pelbagai juadah berat. Aku dan
suami berasa sangat terharu dengan sambutan yang diberikan oleh mereka. Memang
dapurku tidak berasap langsung kerana aku dan suami sibuk dengan operasi ketuk-ketuk
raya kami.
Apa yang aku perhatikan ialah
hubungan yang semakin mesra seperti keluarga di antara majikan, staf dan pekerja yang
secara tak langsung menaikkan semangat mereka untuk bekerja keras bagi menaikkan
kualiti minyak kilang. Kalau Hari Raya Deepavali, kami disajikan dengan maruku,
Hari Raya Aidilfitri pula kami disajikan dengan rendang dan ketupat, Hari Gawai
pula kami disajikan dengan pansoh ayam atau ikan, kari ayam, cili padi garing
dan sebagainya. Aku memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana berpeluang
merantau ke serata tempat dan berpeluang mempelajari pelbagai budaya, makanan
dan perayaan. Aku berdoa kepada Allah agar sentiasa menjadikan aku dan suami
sentiasa ingat akan asal usul kami ibarat resmi padi “semakin berisi, semakin
menunduk”. Insyaallah…
No comments:
Post a Comment